EKONOMI

SEJUMLAH 25 SYARIKAT TEMPATAN KIRIM SURAT NIAT UNTUK MELABUR DI IKN -- TENGKU ZAFRUL

11/12/2024 08:50 PM
Daripada Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) --  Sejumlah 25 buah syarikat dari Malaysia telah mengirim Surat Niat (LOI) untuk melabur di Ibu Kota Nusantara (IKN), Indonesia setakat ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Daripada jumlah itu, beliau berkata dua syarikat telah melepasi peringkat penilaian akhir, dengan potensi pelaburan masing-masing sebanyak RM7.79 bilion dan RM10.47 billion.

"Aktiviti atau industri yang dicadangkan (bagi pelaburan di IKN) termasuk tenaga, pembangunan bandar, pengilangan, infrastruktur, pengurusan sisa
pepejal dan perkhidmatan konsultasi.

"Penglibatan syarikat-syarikat dari Malaysia dalam pembangunan IKN dijangka dapat merancakkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala Malaysia-Indonesia melalui perdagangan barangan dan perkhidmatan, termasuk tenaga pakar, dari Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Dewan Negara, hari ini.

Tengku Zafrul berkata pada 2023 Indonesia merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam rantau ASEAN dan ketujuh terbesar secara global, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah RM111.21 bilion.

"Menyedari akan pembangunan IKN boleh membawa peluang ekonomi di wilayah Borneo, terutamanya untuk negeri Sarawak dan Sabah, kerajaan melalui MITI, telah mengadakan beberapa sesi perbincangan bersama pemegang taruh, pihak industri, dan pihak berkepentingan lain bagi mengenal pasti langkah-langkah untuk merealisasikan penglibatan Malaysia supaya dapat membawa pulangan ekonomi yang terbaik kepada semua pihak," katanya.

Berdasarkan maklumat daripada Otorita IKN (OIKN), beliau berkata jumlah pelaburan di IKN disasarkan sebanyak US$32 bilion untuk sektor tenaga boleh baharu, rangkaian telekomunikasi, pengangkutan, perumahan, rawatan air, pengurusan sisa, infrastruktur teknologi, infrastruktur komersial, kemudahan perubatan, kemudahan sosial dan awam, kemudahan pendidikan dan zon industri hijau.  

"Sehingga kini, jumlah komitmen pelaburan yang telah dikenal pasti adalah sebanyak US$3.68 billion," katanya.

Tengku Zafrul turut memberi jaminan perubahan pucuk pimpinan Kerajaan Indonesia pada 20 Oktober 2024 tidak akan menjejaskan perancangan dan pembangunan IKN. 

"Indonesia akan terus mempergiatkan aktiviti promosi untuk membawa pelaburan asing ke IKN. Fokus pada masa ini ialah pembinaan infrastruktur asas di IKN seperti sumber air, tenaga elektrik dan komunikasi," katanya.

"Kelulusan pelaburan di IKN adalah secara bersasar mengikut sektor seperti yang digariskan di bawah pelan induk pembangunan IKN.

"Sektor yang masih belum mendapat komitmen pelaburan adalah kemudahan sosial dan awam. OIKN mengalu-alukan pelaburan daripada pelabur Malaysia yang berpengalaman dalam membangun dan mengoperasi taman tema dan taman rekreasi," katanya. 

Sementara itu, beliau berkata industri tekstil dan pakaian meneruskan momentum positif yang berterusan pada tempoh separuh pertama 2024, dengan nilai pelaburan meningkat dengan ketara kepada RM540.6 juta, melebihi jumlah keseluruhan pelaburan tahun sebelumnya. 

"Pelaburan dalam tempoh tersebut melibatkan 12 projek dan dijangka mewujudkan 549 peluang pekerjaan.

"Pada tahun 2023, sebanyak 15 projek perkilangan dalam sektor tekstil dan pakaian telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan jumlah pelaburan sebanyak RM472.6 juta dan dijangka mewujudkan 889 peluang pekerjaan baharu.

"Ini membuktikan bahawa industri tekstil dan pakaian bukan sahaja terus berkembang tetapi juga memberi sumbangan yang signifikan kepada peluang pekerjaan
dalam pasaran tempatan dan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan," katanya.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan