EKONOMI

TIJARAH HOLDING LANTIK HASNI ZARINA KETUA AHLI STRATEGI PERTUMBUHAN

13/12/2024 02:28 PM
Daripada Jailani Hasan

LABUAN, 13 Dis (Bernama) -- Syarikat teknologi blockchain Tijarah Holding Ltd melantik Hasni Zarina sebagai Ketua Ahli Strategi Pertumbuhan.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata Hasni bersedia untuk meneraju inisiatif pertumbuhan strategik Tijarah Holding yang diperbadankan di Labuan, mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan aset digital Islam yang terulung.

Beliau yang sebelum ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Touch 'n Go mempunyai pengalaman dalam transformasi perniagaan, inovasi digital dan ekonomi Islam.

Menurut kenyataan itu, Hasni turut berpengalaman dari segi peranan kepimpinan dalam organisasi terkemuka termasuk Halal Development Corporation.

Pengerusi Tijarah Datin Syazana Parawadi berkata pelantikan ini menekankan komitmen syarikat terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam perkhidmatan kewangan Islam.

"Kelulusan Hasni, antaranya Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Aston University dan ijazah kepujian dalam bidang kejuruteraan elektronik daripada Birmingham City University telah menyokong kerjaya cemerlang beliau.

"Rekod prestasi beliau yang terbukti dalam transformasi digital, strategi pertumbuhan, dan hubungan kolaboratif dengan entiti kerajaan akan berperanan penting ketika kami meningkatkan inisiatif strategik dan memperteguh kepimpinan di pasaran," kata Syazana dalam kenyataan sama.

Pencapaian beliau termasuk, menjadi antara 300 Wanita Teratas dalam Perniagaan dan Kewangan Islam (2020) dan menerima Anugerah Wanita Profesional dalam Perniagaan dan Kewangan Islam (2022).

Tijarah Holding adalah syarikat berkaitan ummah yang dikawal selia Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dan dikenali dengan MaalChain, platform inovasi blockchain yang dikuasakan oleh penyelesaian Wisdom 2.0.

Teknologi ini membantu entiti terpusat seperti kerajaan dan institusi kewangan dalam penerimagunaan sistem blockchain desentralisasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan