EKONOMI

Negara Anggota ASEAN Semakin Peka Konsep EPR, Kitar Semula Berasaskan Pasaran - Pakar Ekonomi

27/02/2025 04:23 PM

Daripada Nor Baizura Basri

JAKARTA, 27 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan konsep Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) dan sistem kitar semula berasaskan pasaran di ASEAN antara perkara dibincangkan di bengkel alam sekitar Asia Tenggara untuk pengamal media yang diadakan di sini.

Pakar Ekonomi Kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA) Michikazu Kojima berkata hanya beberapa negara anggota ASEAN yang melaksanakan EPR setakat ini.

Kojima, yang juga Felow Penyelidik Kanan khusus dalam isu alam sekitar, terutamanya pengurusan sisa dan kitar semula berkata terdapat kesedaran yang meningkat dalam kalangan negara anggota mengenai kepentingan EPR.

“Antara negara yang telah melaksanakan dasar EPR mengenai plastik ialah Indonesia, Singapura, Filipina dan Vietnam,” katanya di bengkel tersebut yang bertemakan ‘From Pollution to Solutions: Reporting on Plastic Pollution with Impact’.

Pusat Pengetahuan Serantau untuk Sisa Plastik Marin, yang merupakan sebahagian daripada ERIA, menganjurkan bengkel yang julung kali diadakan itu untuk mendorong lebih banyak laporan yang memberikan impak mengenai pencemaran plastik dan isu-isu berkaitan di ASEAN.

EPR ialah konsep yang memerlukan pengeluar bertanggungjawab ke atas keseluruhan kitaran hayat produk mereka sehingga pelupusannya.

Bagi Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan rangka kerja dasar ekonomi kitaran pada Sept tahun lepas, untuk merumuskan semula model industri berasaskan bahan api fosil dan memangkin amalan pertumbuhan hijau dalam rantaian nilai pembuatan.

Rangka kerja itu turut menggariskan EPR sebagai strategi utama.

Malaysia kini merupakan pengerusi ASEAN.

Bengkel itu yang berakhir pada Rabu turut melihat isu pencemaran plastik merentasi sempadan dan bagaimana wartawan dapat mengkaji cara yang inovatif dan berkesan untuk menyampaikan sains dan data kepada penceritaan, terutamanya mengenai isu pencemaran plastik.

Wartawan dari sembilan negara ASEAN yang mengambil bahagian turut mengunjungi Sekretariat ASEAN untuk meningkatkan pemahaman mereka mengenai pelbagai inisiatif perkumpulan itu dalam kemampanan dan perubahan iklim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan