JENAYAH & MAHKAMAH

Kematian Hud Aryan Disiasat Secara Teliti, Dikhuatiri Ada Unsur Kecuaian - Polis

27/02/2025 02:17 PM

KOTA BHARU, 27 Feb (Bernama) -- Kematian kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan Hud Aryan Mohd Nor Hafifi akan disiasat secara teliti kerana dikhuatiri ada unsur kecuaian, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Mohd Yusoff berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap keluarga kanak-kanak berkenaan.

"Saya memantau TikTok orang ramai dan mereka mengatakan cara kanak-kanak itu hilang tidak logik kerana dalam tempoh beberapa minit sahaja dia (Hud Aryan) telah terjatuh ke dalam sungai.

"Pihak polis bimbang sekiranya ada unsur kecuaian dan kes ini masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata hasil bedah siasat terhadap kanak-kanak berkenaan tidak menemukan sebarang kecederaan pada anggota badan serta tiada unsur jenayah.

Beliau berkata polis akan mengambil keterangan keluarga termasuk ibu dan bapa kanak-kanak itu serta jiran-jiran yang berdekatan di kawasan Kampung Aira Kuala Tiga, Tanah Merah.

Pada Isnin lepas, kanak-kanak itu dilaporkan hilang di Kampung Aira Kuala Tiga dan memasuki hari ketiga pencarian semalam, anggota mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai mayat Hud Aryan di tebing sungai kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Jenazah Hud Aryan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Tiga, Tanah Merah, awal pagi tadi.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan