AM

PAC Syor LHDN Lapor Status E-Invois, Permudah Pembayar Cukai

27/02/2025 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadangkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melaporkan status pelaksanaan e-Invois agar kaedah ini dipermudahkan kepada pembayar cukai dan pada masa yang sama pungutan cukai dapat dipertingkatkan.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata LHDN juga perlu menambah baik proses pentaksiran cukai bagi mengurangkan kes rayuan selain memastikan undang-undang diketatkan bagi membendung ketirisan dan penipuan dalam pembayaran cukai.

“Pihak LHDN perlu meneruskan tindakan pematuhan dan penguatkuasaan bagi memastikan taksiran yang dibangkitkan dapat dipungut dan tidak menjadi Akaun Belum Terima (ABT) seterusnya meningkatkan hasil kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PAC hari ini membentangkan penyata berhubung pengurusan ABT LHDN di bawah Kementerian Kewangan dan LHDN.

Mas Ermieyati berkata LHDN juga perlu meningkatkan program mengenai kepatuhan undang-undang cukai kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya syarikat dan individu yang menjana pendapatan daripada ekonomi digital.

Menurut beliau, PAC telah memulakan prosiding berhubung ABT LHDN pada 5 Nov 2024 berdasarkan penemuan audit yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 - Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023.

Berdasarkan laporan tersebut, katanya didapati ABT LHDN pada 2023 berjumlah RM34.591 bilion berbanding 2022 yang berjumlah RM40.385 bilion, menurun sebanyak RM5.794 bilion (14.3 peratus).

“Penurunan ABT LHDN ini disebabkan oleh hapus kira dan taksiran kurangan yang dibangkitkan pada 2023,” katanya.

Beliau berkata PAC telah mengadakan mesyuarat prosiding berhubung isu tersebut sebanyak tiga kali pada 5 Nov 2024, 26 Nov 2024 dan 4 Feb 2025.

Hasil daripada prosiding berkenaan, katanya PAC membuat sembilan rumusan antaranya pihaknya menyambut baik kenyataan LHDN bahawa penambahbaikan telah dibuat terhadap proses tadbir urus apabila kes-kes taksiran kurangan membabitkan jumlah melebihi RM10 juta akan dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Audit.

Selain itu, katanya sebagai pemantapan proses pemungutan, LHDN menggunakan ReMS 2.0, sistem yang dibangunkan secara dalaman dan membolehkan pegawai mengesan kes-kes ketidakpatuhan dalam proses pemungutan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan