KOTA BHARU, 27 Feb (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menemui 200 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM6.4 juta di dalam sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero di Kampung Bechah Resak, Chabang Empat, Tumpat, Ahad lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata operasi yang diketuai Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 8.30 malam itu bermula apabila anggota bertugas mengesan kenderaan pacuan empat roda tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan di Sekat Pintas Nibong.
“Ketika diarahkan berhenti, pemandu Mitsubishi Pajero itu nekad merempuh penghadang sekatan jalan dan memecut laju, memaksa polis mengejar kenderaan itu sejauh 15 kilometer hingga ke Chabang Empat sebelum akhirnya ia terhenti kerana tayar pancit.
“Bagaimanapun, dua suspek lelaki dalam kenderaan itu berjaya melarikan diri ke kawasan kampung berhampiran. Hasil pemeriksaan, polis menemui 200 bungkusan syabu seberat 200 kg dan sebuah telefon bimbit dipercayai milik seorang daripada suspek,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata siasatan mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 39 tahun dari Tumpat, yang turut berada dalam kenderaan itu ketika kejadian.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas telefon bimbit yang ditinggalkan membawa kepada satu pendedahan mengejutkan apabila suspek yang dikenali sebagai Faizal sempat menghantar mesej kepada isterinya, mengarahkan wanita itu melarikan diri kerana polis sedang memburunya.
“Kita telah mengambil keterangan isterinya dan kini sedang memburu suspek utama dari Kampung Bendang Pok Yong serta rakannya yang berusia 30-an,” katanya.
Mohd Yusoff berkata bekalan syabu ini dipercayai diperoleh dari negara jiran, dengan jumlah rampasan itu mampu menampung keperluan dua juta penagih.
Beliau berkata polis memperhebatkan operasi mengesan dua suspek yang masih bersembunyi dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial