KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu IHH Healthcare Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 menyusut kepada RM2.66 bilion daripada RM2.95 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.
Bagaimanapun, perolehan bagi tahun dalam tinjauan meningkat kepada RM24.38 bilion berbanding RM29.93 bilion berikutan pertumbuhan berterusan bagi jumlah pesakit dan kekukuhan perolehan di seluruh pasaran, masing-masing meningkat 16 peratus dan 17 peratus berbanding tahun kewangan 2023.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IHH berkata ia mengekalkan lembaran imbangan yang kukuh, dengan tunai bersih yang dijana daripada aktiviti operasi sebanyak RM3.1 bilion dan hutang bersih pada 0.39 kali.
IHH turut mengisytiharkan dividen tunai kedua dan akhir sebanyak 5.5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen biasa untuk tahun kewangan 2024 sebanyak 10.0 sen sesaham (dividen tunai interim 4.5 sen sesaham dibayar pada Oktober 2024) berbanding 9.0 sen sesaham pada tahun kewangan 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Dr Prem Kumar Nair berkata kumpulan itu kekal berada dalam trajektori positif dan mantap serta pada masa sama melaksanakan strategi pertumbuhan, termasuk menambah hampir 4,000 katil menjelang 2028.
“Sepanjang tahun ini, kami menambah hampir 1,000 katil dan akan meneruskan pertumbuhan kapasiti kami pada tahun-tahun akan datang.
“Kami melabur dari segi menaik taraf dan memperkukuh persediaan masa depan hospital misalnya di Hospital Mount Elizabeth di Singapura, dengan kerja-kerja pengubahsuaian dijangka selesai lebih awal mengikut jadual pada suku ketiga 2025,” katanya.
Pada masa depan, Prem berkata IHH akan meneruskan usaha penjagaan kesihatan yang bernilai tinggi dan berkesan dari segi kos kepada pesakit dengan menambah baik hasil klinikal dan pengalaman pesakit.
Beliau berkata trend menggalakkan di pasaran utama memberikan dorongan yang kukuh kepada pertumbuhan berterusan kumpulan ini.
“Kami yakin berupaya menguatkan kedudukan kami sebagai peneraju penjagaan kesihatan global di samping memberikan pulangan memberangsangkan kepada pemegang saham,” katanya.
Sementara itu, bagi suku keempat berakhir pada 31 Dis 2024, keuntungan bersih IHH meningkat sedikit kepada RM732.00 juta daripada RM728.00 juta.
Perolehan menokok sebanyak 26 peratus kepada RM6.69 bilion berbanding RM5.29 bilion pada suku yang sama tahun kewangan 2023.
Pertumbuhan ini disokong oleh permintaan yang berterusan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti, peningkatan jumlah pesakit dalaman serta perolehan yang kukuh berikutan pengendalian kes yang lebih kompleks.
IHH berkata penggabungan Timberland Medical Centre dan Island Hospital selepas pengambilalihan turut menyumbang kepada perolehan yang meningkat.
Mengenai prospek, katanya berikutan peningkatan keperluan penjagaan kesihatan dalam negara dan di seluruh rantau ini, kumpulan yakin dengan trajektori pertumbuhannya.
“Kami akan terus memberikan tumpuan kepada lima keutamaan strategik, melibatkan penambahan hampir 4,000 katil baharu dalam tempoh empat tahun akan datang,” katanya.
IHH secara keseluruhannya menjangka pertumbuhan perolehan adalah berterusan yang didorong oleh trend mega penjagaan kesihatan.
Menurutnya selain itu tumpuan akan diberikan kepada peningkatan keuntungan dan mengekalkan pulangan ekuiti yang baik dan pada masa sama memastikan pengurusan modal berhemat serta mengurangkan tekanan inflasi dan kadar faedah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial