JENAYAH & MAHKAMAH

Pengubahan Wang Haram Dan Rasuah, Tiga Pegawai Bank Ditahan

14/05/2025 04:56 AM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai dua institusi perbankan di Kuala Lumpur kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah membabitkan permohonan pinjaman lebih RM21 juta.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada pengurus perniagaan, ketua jabatan dan pengurus cawangan itu disyaki secara bersama memiliki, mengubah, memindah dan menggunakan wang hasil bayaran rasuah yang diterima daripada tiga syarikat sekitar 2024.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek yang berjawatan ketua jabatan dipercayai meminta dan menerima wang rasuah lebih RM170,000 daripada tiga syarikat yang telah membuat lima permohonan pinjaman keseluruhannya berjumlah lebih RM21 juta. 

"Wang rasuah ini sebagai balasan kerana memproses dan meluluskan pinjaman-pinjaman yang dibuat oleh syarikat berkenaan," katanya. 

Menurutnya, kesemua suspek ditahan sekitar 4 hingga 5 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberikan keterangan. 

Susulan tangkapan itu SPRM turut membekukan empat akaun perbankan milik individu melibatkan nilai kira-kira RM268,000 selain menyita tiga unit peranti telekomunikasi dan sebuah komputer riba.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) 2001 dan menurut Norhaizam kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman, pagi esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan