PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan bahawa Malaysia diwajibkan memansuhkan syarat lesen penyiaran yang menetapkan 80 peratus kandungan tempatan susulan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Menurut kenyataan MCMC hari ini, dakwaan berkenaan yang dibuat oleh seorang bekas ketua pengarang adalah tidak benar dan mengelirukan, serta tidak mencerminkan kerangka pelesenan penyiaran yang sedang berkuat kuasa di negara ini.
Di bawah lesen Content Applications Service Provider Individual (CASP) atau lesen penyiaran individu yang dikeluarkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), tiada syarat kuota kandungan tempatan sebanyak 80 peratus dikenakan terhadap penyiar swasta di Malaysia.
“Lesen semasa memberi kebebasan kepada penyiar untuk menentukan kandungan masing-masing berdasarkan garis panduan serta piawaian kandungan yang ditetapkan oleh MCMC,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, lesen penyiaran di bawah AKM 1998 tidak mengandungi sebarang larangan terhadap penyiaran kandungan antarabangsa pada waktu perdana, dan penjadualan kandungan tertakluk kepada keputusan penyiar berdasarkan permintaan pasaran serta selaras dengan peraturan kandungan sedia ada.
Sementara itu, kerajaan kini sedang membangunkan Dasar Penyiaran Negara (DPN) yang bertujuan memastikan ekosistem penyiaran negara kekal mampan, memperkukuh pembangunan kandungan tempatan berkualiti, serta mewujudkan tadbir urus yang telus dan saksama bagi penyiar awam, swasta dan platform antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial