AM

Pemasangan CCTV Di Asrama Dilaksana Dengan Penekanan Privasi, Keselamatan Pelajar

12/11/2025 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama akan memberi tumpuan kepada kawalan akses dan perlindungan data bagi memastikan keselamatan serta privasi pelajar, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata rakaman akan disimpan sekurang-kurangnya 30 hari dengan spesifikasi teknikal ditetapkan kementerian, selain garis panduan jelas turut disediakan merangkumi pemasangan, pentadbiran dan penggunaan.

“Rakaman CCTV ini kita akan menyimpan dengan spesifikasi sedia ada boleh menyimpan sekurang-kurangnya 30 hari. Pentadbiran pengoperasian keseluruhan CCTV ini kesemuanya telah pun digariskan mengikut garis panduan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) yang meminta penjelasan mengenai akses kepada rakaman CCTV, tempoh penyimpanan dan prosedur pemadaman bagi melindungi kerahsiaan pelajar.

Wong berkata kerajaan menyalurkan RM3 juta bagi pemasangan CCTV di 200 sekolah, serta RM5 juta tambahan untuk melengkapkan 333 sekolah berasrama lain, dan usaha itu akan diteruskan demi keselamatan pelajar.

Mengulas perbandingan peruntukan CCTV dengan pengedaran lencana Jalur Gemilang, beliau menegaskan kedua-dua inisiatif mempunyai tujuan masing-masing dan tidak menjejaskan pelaksanaan program lain, termasuk memupuk semangat patriotisme.

Menjawab soalan asal Shahidan mengenai kaedah perolehan CCTV dan jaminan privasi pelajar, Wong berkata pemasangan dilaksana secara berfasa melalui perolehan terbuka dengan sokongan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 149 daripada 200 sekolah, atau 75 peratus telah siap pemasangannya, sambil menambah bahawa perolehan dibuat melalui sistem e-Perolehan oleh pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bergantung kepada keperluan setempat.

Beliau berkata CCTV dipasang di kawasan awam strategik seperti laluan utama, pintu masuk dan keluar, tangga, koridor, dewan makan, bilik prep serta kawasan terpencil, manakala bilik tidur, tandas dan ruang persalinan dikecualikan bagi menjaga privasi pelajar dengan rondaan warden diperkukuh.

Menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai penyelenggaraan dan mekanisme peruntukan, Wong berkata sekolah bertanggungjawab memastikan sistem sentiasa berfungsi dan diselenggara mengikut garis panduan serta waranti minimum setahun, manakala setiap set CCTV ditetapkan harga siling RM15,000 dengan peruntukan disalurkan melalui sekolah, JPN atau PPD.

Sementara itu dalam soalan berasingan, Wong berkata kementerian komited menjamin kelestarian pendidikan Tamil melalui prinsip inklusif, ekuiti dan kualiti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan 1996 serta aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Beliau berkata kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) adalah terpelihara di bawah undang-undang sedia ada dengan pelbagai inisiatif pemerkasaan, termasuk penambahbaikan infrastruktur, kemudahan asas moden seperti makmal sains dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta peningkatan pembangunan profesional guru.

“Di SJKT, bahasa Tamil menjadi bahasa pengantar bagi memudahkan pemahaman konsep dan memperkukuh penguasaan bahasa ibunda… pada masa sama, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kekal sebagai mata pelajaran wajib di SJKT supaya anak-anak kita dapat menguasai bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) mengenai dasar komprehensif untuk memastikan kelestarian pendidikan Tamil, termasuk pelan jangka panjang memperkukuh kurikulum, meningkatkan kemudahan sekolah serta mempertahankan kedudukan sekolah vernakular dalam kerangka Perlembagaan dan aspirasi pendidikan nasional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan