KUCHING, 12 Nov (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki sebilah pedang samurai serta pisau di tempat awam.
Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman itu selepas Ahmad Noor Abdullah, 39, mengaku melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta yang diletakkan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Ban Hock di sini pada 6.45 pagi 8 Nov lepsa.
Ahmad Noor, yang berasal dari Lundu, disabitkan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan diarah menjalani hukuman bermula tarikh tangkap iaitu pada 8 Nov.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan anggota dari Balai Polis Padungan telah memeriksa sebuah kereta yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Polis menjumpai sebilah pisau di ruang penyimpanan di antara kerusi hadapan dalam kereta milik tertuduh itu dan pemeriksaan lanjut pada bahagian atas tempat duduk belakang menemukan sebilah pedang samurai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial