IPOH, 12 Nov(Bernama) -- Perak akan membentangkan Belanjawan 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung pada 25 Nov hingga 2 Dis ini.
Speaker DUN Perak Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata belanjawan itu akan memfokuskan kepada pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan kesejahteraan negeri dan rakyat.
Beliau berkata belanjawan yang akan dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberi peluang untuk mengambil bahagian pada sesi perbahasan berkenaan.
“Masa sesi perbahasan yang diperuntukkan kepada penyokong kerajaan dan ketua pembangkang adalah selama 45 minit seorang, manakala bagi ADUN lain selama 20 minit setiap seorang.
“Sesi perbahasan dijadualkan berlangsung pada persidangan kedua iaitu pada 26 Nov ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Mohammad Zahir berkata tiga usul melantik Ahli Jawatankuasa Pilihan meliputi Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta Jawatan Kebajikan Ahli.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata ADUN Gunung Semanggol Razman Zakaria kekal sebagai Ketua Pembangkang selepas tamat tempoh penggantungan selama enam bulan pada Oktober lepas.
Menurut Mohammad Zahir, penggantungan Razman sebelum ini wajar dijadikan pengajaran kepada semua ADUN agar sentiasa menjaga tertib dan adab semasa bersidang.
“Tujuan kita berada dalam dewan ialah untuk melaksanakan urusan pentadbiran, meluluskan undang-undang dan membahaskan dasar dengan cara berhemah.
“Walaupun Ahli Dewan mempunyai imuniti, ia tidak bermaksud kita bebas daripada tindakan jika melampaui batas,” katanya.
Sebelum ini, Razman digantung daripada menghadiri sidang DUN selepas didapati mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung insiden bendera negara China dikibarkan di Menara Teluk Intan sempena sambutan Guan Gong Sedunia pada Okt lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial