KUALA TERENGGANU, 12 Nov (Bernama) -- Kisah hidup dan perjuangan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang bakal diabadikan dalam sebuah dokumentari khas bertajuk The Pulse dan disiarkan di platform penstriman antarabangsa Netflix, pada suku ketiga tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Hishamuddin Abdul Karim berkata semangat juang tinggi dan perjalanan karier jaguh Olimpik yang penuh cabaran telah menarik minat sebuat syarikat tempatan untuk menerbitkan dokumentari atlet yang lahir dari program pembangunan sukan negeri itu.
Beliau berkata The Pulse membawa maksud nadi, melambangkan semangat juang The Pocket Rocketman yang tidak pernah padam walaupun dilanda masalah jantung.
"Malah beberapa insiden lain seperti tertusuk kayu ketika pertandingan, beliau masih meneruskan kayuhan. Ia adalah sesuatu yang luar biasa dan sangat memberi inspirasi kepada atlet lain," katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 di sini hari ini.
Hishamuddin berkata dokumentari berkenaan bukan sahaja satu penghargaan kepada Mohd Azizulhasni, malah mengangkat nama Terengganu sebagai negeri yang melahirkan ramai atlet bertaraf dunia.
Beliau berkata kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh bagi memastikan proses penggambran berjalan lancar dan siap mengikut jadual.
"Dokumentari ini juga akan menonjolkan peranan semua pihak hingga membawa kepada kejayaan meraih pingat perak dalam acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Ketabahan beliau wajar dijadikan contoh dan ikon kepada generasi baharu. Ia akan memberi inspirasi kepada atlet yang sedang berjuang mengharumkan nama negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial