EKONOMI

Struktur Fi Baharu SC Dijangka Berkuatkuasa 1 Jan 2026 - MOF

12/11/2025 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Struktur fi baharu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) masih lagi dalam proses semakan Jabatan Peguam Negara dan dijangka berkuatkuasa pada 1 Januari 2026, menurut Kementerian Kewangan (MOF). 

Menerusi jawapan bertulis di portal Dewan Rakyat, kementerian memaklumkan SC telah melaksanakan lebih 100 sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk bank, broker dan pengurus dana sebelum memuktamadkan struktur fi baharu itu.

MOF berkata SC hanya mengenakan bayaran kepada pihak yang telah menerima manfaat secara langsung daripada usaha SC berkaitan pengawalseliaan dan pembangunan, iaitu institusi pasaran dan peserta pasaran yang sebahagian besar atau majoriti terdiri daripada entiti yang berkeupayaan tinggi dari segi kewangan.

"Prinsip semakan struktur fi SC adalah berlandaskan prinsip keseimbangan dan saksama yang mengambil kira saiz, kerumitan serta tahap aktiviti bagi setiap institusi dan peserta pasaran modal.

"Di samping itu, SC telah menghubungi entiti-entiti yang terlibat untuk mendapatkan anggaran yuran masing-masing, yang dikira berdasarkan formula yuran SC," kata kementerian.

Kementerian menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bertanya mengenai yuran tahunan yang dikenakan SC ke atas syarikat tersenarai serta struktur yuran tahunan baharu yang akan dikutip.

Sementara itu menjawab soalan berasingan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai status pelaksanaan cukai keuntungan modal (CKM) dan cukai barangan bernilai tinggi (HVGT), MOF berkata jumlah kutipan CKM bagi tahun taksiran 2024 ialah sebanyak RM162 juta.

Kementerian turut memaklumkan pelaksanaan HVGT telah disemak semula dan diselaraskan dengan penambahbaikan dasar percukaian sedia ada melalui peluasan skop Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang telah berkuatkuasa mulai 1 Julai 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan