AM

Program Sejati MADANI Kampung Hiliran Jejawi Hasilkan Jualan Santan, Kerisik Cecah RM40,000 Sebulan

14/11/2025 11:05 AM

Oleh Balqis Jamaludin

KUALA TERENGGANU, 14 Nov (Bernama) -- Usaha sekumpulan penduduk Kampung Hiliran Jejawi di sini yang menjalankan perniagaan santan dan kerisik melalui program Sejati MADANI membuahkan hasil apabila berjaya mencapai jualan mencecah RM40,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Hiliran Jejawi Nor Azman Md Nor berkata perniagaan santan dan kerisik itu dimulakan oleh beliau selaku ketua projek bersama tiga peserta lagi pada November tahun lepas menggunakan geran RM82,000 yang diberikan kerajaan Persekutuan melalui inisiatif Sejati MADANI.

Beliau berkata pihaknya memilih untuk menjalankan perniagaan santan dan kerisik  kerana menyedari kedua-dua bahan masakan berasaskan kelapa itu sentiasa mendapat permintaan tanpa mengira waktu atau musim.

“Saya lihat perniagaan santan dan kerisik ini kurang sedikit risikonya kerana memang orang akan guna terutama santan tak mengira waktu. Apatah lagi pada musim perayaan. Sebab itu pada bulan puasa dan hari raya yang lepas kami meraih jualan mencecah RM40,000. 

“Selain itu kami ada bekalkan kelapa parut terutama pada musim tengkujuh kepada pengusaha makanan tradisi seperti ubi tonyoh, iaitu juadah yang hanya didapati pada musim hujan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kedai Santan & Kerisik Lerang Jawi, di sini.

Kejayaan perniagaan santan dan kerisik yang diusahakan penduduk kampung berkenaan mendapat perhatian Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Perdana Menteri menyebut mengenai projek itu dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen pada bulan lepas.

Nor Azman berkata geran yang diperoleh itu telah digunakan sebaik mungkin oleh pihaknya, antara lain membeli mesin parut kelapa dan perah santan, peralatan lain serta menyelenggara premis di atas tapak di tepi jalan berdekatan Kampung Hiliran Jejawi yang disewa dengan kadar RM400 sebulan.

Beliau berkata setiap hari pihaknya berjaya menjual hampir 100 kilogram santan dan kerisik, dan mereka menggunakan kira- kira 1,000 hingga 2,000 biji kelapa yang dihantar pembekal setiap tiga atau empat hari.

“Selain mendapatkan kelapa dari pembekal tempatan, kita juga terpaksa membeli kelapa dari Indonesia kerana bekalan kelapa tempatan sering tidak mencukupi. Antara faktornya kelapa tempatan kebanyakannya dibeli oleh penjual air kelapa muda. Jadi kelapa tempatan tidak sempat tua untuk dibuat santan dan kerisik,” katanya.

Hasil jualan yang kini dilihat memberangsangkan membolehkan tiga lagi peserta yang bersama mengusahakan perniagaan itu yang kesemuanya  wanita termasuk ibu tinggal meraih pendapatan kira-kira RM900 sebulan.

Selain itu, pada musim perayaan pihaknya akan menggaji kira-kira 10 lagi penduduk kampung sebagai pekerja sementara bagi memenuhi lonjakan permintaan santan dan kerisik. 

Nor Azman bersyukur kerana projek berkenaan bukan sahaja memanfaatkan penduduk yang terlibat secara langsung malah kepada seluruh komuniti kampung melalui pelbagai program dan aktiviti tanggungjawab sosial yang dilaksanakan.

“Alhamdulillah dengan adanya inisiatif Sejati MADANI ini membolehkan keuntungan dapat disalurkan untuk membantu penduduk yang dalam kesusahan seperti bantuan katil dan kerusi roda kepada yang uzur serta bantuan kewangan untuk pembiayaan rawatan. Untuk golongan muda kita juga anjurkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan boling dan sebagainya.

“Bukan itu sahaja. Kita juga menggunakan hasil pendapatan jualan santan dan kerisik ini untuk membaiki jalan yang telah rosak, selain memberikan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir pada musim tengkujuh yang lepas. Apabila kita ada duit sendiri ini kita pun dapat membaiki infrastruktur di kampung atau melaksanakan program tanpa perlu menunggu peruntukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya bercadang membuka cawangan Kedai Santan & Kerisik Lerang Jawi di sebuah kawasan perumahan yang berdekatan dengan bandar Kuala Terengganu bagi meraih lebih keuntungan yang dapat disalurkan semula kepada penduduk kampung.

Dalam pada itu, seorang peserta projek Siti Rohaya Derahman, 53, berkata setelah sekian lama menjadi suri rumah, dia bersyukur kerana menerima pendapatan RM900 sebulan dan dapat membantu meringankan beban suaminya Wan Zaidi Wan Sulung, 56, yang hanya bekerja sebagai penghantar ikan dari pasar dengan pendapatan tidak menentu.

“Saya juga masih ada dua lagi anak perempuan yang bersekolah di tingkatan dua dan tahun empat jadi apabila bekerja ini saya dapat membantu menjana ekonomi keluarga dan membantu persekolahan anak-anak,” kata ibu kepada enam cahaya mata berusia 30 hingga 10 tahun itu.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan