AM

Fadlun Dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur Berkuat Kuasa Esok

14/11/2025 11:11 AM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuat kuasa esok, umum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata pelantikan Fadlun, 58, bagi menggantikan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Fadlun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.

“Fadlun menyandang jawatan sebagai Presiden PPj sejak 2022 dan dalam tempoh itu beliau telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dalam memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusiviti dan kelestarian,” katanya. 

Dr Zaliha berkata Fadlun juga ialah Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia dan penglibatan aktif beliau dalam pelbagai forum serta jaringan profesional antarabangsa memperkukuh peranan beliau sebagai tokoh perancang bandar yang berwawasan dan berpandangan jauh.

“Saya yakin dengan pelantikan ini, beliau akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat.

“Kepimpinan beliau diharapkan dapat memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai MADANI,” katanya.

Dr Zaliha turut merakamkan penghargaan kepada Maimunah atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang telah banyak memperluas reputasi Kuala Lumpur pada peringkat antarabangsa.

“Saya juga mengucapkan tahniah atas pelantikan terkini beliau sebagai Penasihat Hartanah PETRONAS dan percaya pengalaman luas beliau akan terus dimanfaatkan dalam menerajui agenda pembangunan strategik negara,” katanya. 

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata Maimunah akan menamatkan perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada hari ini dan memulakan tugas sebagai Penasihat Hartanah Petronas pada 17 Nov.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan