AM

MCMC Peroleh Penghakiman Ingkar Terhadap Pentadbir Dua Saluran Telegram

14/11/2025 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama)  -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memperoleh penghakiman ingkar terhadap pentadbir dua saluran Telegram, “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”, dalam kes saman berhubung penerbitan dan penyebaran 33 artikel berunsur fitnah dan memudaratkan.

Peguam Wong Guo Jin yang mewakili MCMC berkata Hakim Mahkamah Tinggi Mahazan Mat Taib membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan MCMC selaku plaintif berikutan individu yang tidak dikenali (pentadbir saluran Telegram “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”) selaku defendan gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan pada tarikh ditetapkan.

"Bagaimanapun, ganti rugi am dan ganti rugi teladan akan ditaksir kemudian oleh mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu.

MCMC memfailkan permohonan untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap dua defendan itu (pentadbir saluran Telegram “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”) pada 25 Sept lepas, kerana gagal memasukkan kehadiran dan perakuan ketidakhadiran yang sepatutnya difailkan pada 10 Sept.

Tarikh terakhir bagi dua defendan terbabit memfailkan pembelaan adalah pada 24 Sept, namun tiada pembelaan difailkan oleh mereka sehingga kini.

Wong berkata mahkamah menetapkan 27 Nov ini bagi pengurusan kes berhubung status permohonan penghakiman ingkar oleh MCMC terhadap Telegram Messenger Inc. yang merupakan defendan ketiga dalam kes saman itu.

Melalui penghakiman ingkar berkenaan, mahkamah membenarkan MCMC untuk mendapatkan deklarasi bahawa pentadbir saluran Telegram “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas” telah membenarkan atau memudahkan penggunaan saluran tersebut untuk menerbit serta mengedarkan kandungan memudaratkan terhadap pihak-pihak yang terkilan di Malaysia.

Selain itu, mahkamah membenarkan satu injunksi mandatori yang mengarahkan pentadbir saluran berkenaan segera dan kekal menurunkan semua kandungan palsu, mengancam dan jelik daripada saluran tersebut, serta satu injunksi menghalang pentadbir saluran atau ejennya daripada terus mengucapkan, menulis, menyebar atau menerbit dan mengedarkan kandungan memudaratkan.

Mahkamah turut membenarkan injunksi larangan yang menghalang pentadbir saluran terbabit daripada menerbitkan kandungan palsu, mengancam dan jelik yang serupa dengan kandungan memudaratkan.

Penghakiman ingkar ialah keputusan mahkamah yang diberikan secara automatik terhadap satu pihak apabila ia gagal mengambil langkah diwajibkan dalam prosiding tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.

Pada 30 Okt lepas, mahkamah membenarkan permohonan MCMC untuk mendapatkan injunksi Erinford terhadap Telegram Messenger Inc serta pentadbir dua saluran Telegram itu, bagi menghalang mereka daripada terus menerbit atau menyebarkan 33 artikel berunsur fitnah dan memudaratkan sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

MCMC memfailkan saman pada 21 Mei lepas, dengan menamakan individu tidak dikenali (pentadbir saluran Telegram “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”) serta Telegram Messenger Inc. masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, MCMC mendakwa saluran berkenaan terlibat dalam kempen terancang yang menyasarkan Institusi Diraja, badan atau institusi awam sejak 6 Feb 2024.

MCMC turut mendakwa semua defendan menyebarkan berita palsu serta mengelirukan bertujuan mengganggu ketenteraman awam serta melemahkan kepercayaan terhadap tadbir urus negara selain tindakan itu adalah berniat jahat untuk mencetus ketidakpuasan hati dan kebencian orang awam terhadap kerajaan Malaysia.

Sementara itu dalam satu kenyataan, peguam Datuk SN Nair yang mewakili MCMC berkata perintah mahkamah berkenaan mencerminkan betapa seriusnya badan kehakiman Malaysia memandang penyalahgunaan saluran komunikasi digital dan kesannya terhadap individu serta institusi awam.

“Walaupun pentadbir saluran berkenaan masih kekal tanpa identiti, penghakiman hari ini menegaskan bahawa identiti dalam talian tidak melindungi pesalah daripada tanggungjawab undang-undang.

“Perintah yang diperoleh itu  membolehkan MCMC meneruskan usaha penguatkuasaannya serta mengekalkan hak untuk menuntut ganti rugi dan kos guaman sekiranya identiti individu di sebalik saluran ini dapat dikenal pasti pada masa depan,” katanya.

Menurut peguam itu, MCMC kekal komited memastikan platform digital tidak disalah guna untuk mengganggu ketenteraman awam, menjejaskan reputasi atau menyebarkan kandungan yang menyalahi undang-undang.

“Kita akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan serta penyedia perkhidmatan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan