KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Malaysia mengambil tindakan pantas dan melibat urus dengan negara anggota ASEAN lain untuk merangka apa yang perlu dilakukan rantau itu susulan perubahan mendadak dalam sentimen perdagangan global tahun ini, terutamanya berkaitan tarif baharu Amerika Syarikat (AS).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata negara memahami apa yang perlu dilakukan dan bertindak balas dengan pantas kerana menyedari apa sahaja yang berlaku tahun ini akan membawa impak kekal kepada dunia.
“Kita tidak boleh menghentikan perubahan di peringkat global, terutamanya oleh kuasa besar, dan kesannya terhadap kita.
“Kita perlu sedar bahawa kita tidak terasing, dan sebagai sebuah negara kecil yang berhasrat untuk menjadi kuasa pertengahan tetapi tidak terlalu besar, kita perlu menangani kesannya apabila melibatkan peristiwa global,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian program hari terbuka MITI, MITI Asean Day 2025, di sini, hari ini.
Beliau berkata sesetengah pihak percaya bahawa AS akan kembali kepada pendirian sebelumnya selepas beberapa tahun, tetapi “kita perlu menerima bahawa apa yang berlaku pada 2025 berkemungkinan akan kekal.”
“Apa yang berlaku pada 2025 akan memberi impak sekurang-kurangnya sama taranya dengan apa yang berlaku pada 2001. Apa yang kita lihat hari ini adalah sesuatu yang perlu kita tangani dalam tempoh lima, 10, 15 tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, Liew berkata sebagai sebahagian daripada kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini, Malaysia dan Indonesia menerajui bersama Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN, salah satu respons segera untuk menangani krisis global.
“Saya mempengerusikan jawatankuasa ini dan bersama-sama dengan negara anggota ASEAN lain, kami menghasilkan Laporan Geoekonomi ASEAN 2025 bertajuk ‘This Time It Is Different: ASEAN's Agency in Shaping the New Global Agenda.
"Pandangan kami pada asasnya begini: ASEAN penting, dan ia mesti bersatu. ASEAN mempunyai agensi bukan sahaja untuk bertindak balas tetapi juga untuk mencorakkan agenda global dan, sehingga pada satu tahap, membentuk orde global," katanya.
Mengenai MITI Asean Day 2025 yang berlangsung pada 14 dan 15 Nov, Liew berkata seperti tahun-tahun sebelum ini, antara program utama yang sentiasa mendapat sambutan adalah Karnival Kerjaya.
“Tahun ini lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada para pengunjung Hari MITI. Fokus khas diberikan kepada bidang latihan teknikal dan vokasional bagi memperkenalkan pelbagai laluan kerjaya kepada para belia dan pencari kerja.
“Kami menambah perkataan ASEAN dalam Hari MITI kerana kami percaya bahawa tahun ini adalah tahun ASEAN dan kami ingin meraikan apa yang telah kita capai.”
“Tahun ini merupakan tahun yang amat bermakna kepada Malaysia apabila negara kita diberi kepercayaan untuk mempengerusikan ASEAN,” katanya.
Menurutnya, para pengunjung juga berpeluang melawat pameran industri dan perdagangan yang menyediakan ruang untuk mengenali peranan dan berinteraksi secara terus dengan pelbagai agensi di bawah MITI.
Selain itu, akan ada juga Anugerah Standard dan Akreditasi Kebangsaan Tahun 2024 anjuran Jabatan Standard Malaysia.
“Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi untuk mengiktiraf individu yang telah banyak memberi sumbangan dalam bidang standardisasi dan akreditasi di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial