POLITIK

DAP Sabah Putuskan Tidak Ambil Sebarang Jawatan Dalam Kerajaan Negeri - Loke

02/12/2025 09:11 AM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- DAP Sabah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan Sabah, termasuk sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri secara lantikan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata keputusan itu dibentangkan DAP Sabah dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu untuk membincangkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan malam tadi.

Beliau berkata walaupun tidak berada dalam struktur kerajaan negeri, pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat di negeri itu dan berusaha mengembalikan keyakinan rakyat.

Mengulas mengenai PRN Sabah, Loke berkata keputusan pilihan raya kali ini mencerminkan krisis keyakinan yang serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan (PH).

“Kami telah menerima isyarat yang jelas dan tidak meragukan daripada para pengundi. Para pemimpin dan anggota yang terlibat dalam kempen amat peka bahawa terdapat ketidakpuasan yang meluas dalam kalangan rakyat sepanjang tempoh berkempen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata DAP akan mengumpulkan semua maklum balas yang diterima dan berusaha bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempercepat agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang.

Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 yang berlangsung pada Sabtu lepas menyaksikan DAP Sabah gagal meraih sebarang kerusi daripada lapan kerusi yang ditandingi parti itu.

Lapan kerusi yang ditandingi DAP Sabah termasuk enam DUN yang disandang parti berkenaan, iaitu Luyang, Kapayan, Likas, Tanjong Papat, Elopura dan Sri Tanjong, manakala dua lagi ialah kerusi baharu melibatkan Tanjung Aru dan Kemabong.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan