DUNIA

Harga Emas Kekal Kukuh, Namun Belum Atasi Paras Sasaran US$5,000 Setiap Auns Troy

02/12/2025 09:12 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Pada Mac lepas, Bernama melaporkan bahawa harga emas berpotensi melonjak menghampiri paras US$5,000 bagi setiap auns troy, dan ternyata logam berharga itu sebenarnya sudah pun memecahkan rekod pada kadar yang tidak dijangka.

Ketika itu, harga emas melepasi paras US$3,000, dipacu oleh ketidaktentuan global, penurunan kadar faedah serta pembelian yang agresif oleh bank pusat.

Namun, menjelang penghujung 2025, aliran  ke paras US$5,000 menjadi lebih perlahan daripada jangkaan ramai pelabur. Emas akhirnya menembusi paras US$4,000 pada Oktober, selepas tempoh kenaikan tujuh bulan daripada lonjakan pada Mac.

Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pergerakan harga tahun ini menunjukkan bahawa walaupun trend kenaikan emas kekal kukuh, setiap halangan psikologi seterusnya memerlukan dorongan yang lebih kuat.

 

Setiap Paras Baharu Perlukan Pencetus Lebih Kuat

 

Mohd Sedek berkata tempoh yang diambil emas untuk bergerak dari US$3,000 ke US$4,000 menunjukkan bahawa setiap paras baharu menjadi lebih sukar dicapai, terutamanya apabila keadaan pasaran kembali normal antara episod risiko besar.

Jelas beliau, lonjakan harga dari US$3,000 pada Mac kepada US$4,000 pada Oktober menunjukkan bahawa setiap halangan kenaikan dalam tempoh tujuh bulan, menandakan bahawa langkah seterusnya untuk mencapai paras US$5,000 setiap auns troy memerlukan pencetus lebih kukuh seperti penurunan kadar faedah yang lebih cepat dan mendalam, krisis geopolitik besar, atau peningkatan mendadak pembelian oleh bank pusat.

“Saya tidak menjangka berlakunya kekurangan bekalan tahun depan, bagaimanapun, permintaan dijangka terus meningkat. Harga emas berpotensi melepasi paras US$5,000, tetapi ia bergantung pada sejauh mana agresifnya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menurunkan kadar faedah,” kata Mohd Sedek kepada Bernama.

Beliau berkata sasaran US$5,000 itu masih boleh dicapai, namun lebih realistik untuk berlaku pada awal 2026 dan bukannya menjelang akhir 2025.

“Dengan ekonomi utama sudah mula menurunkan kadar bagi menstabilkan mata wang masing-masing, pelonggaran monetari global kekal sebagai pemacu utama kepada lonjakan seterusnya dalam harga emas.

“Jika Fed menurunkan kadar faedah ke bawah tiga peratus, harga emas boleh melonjak sehingga US$6,000,” katanya sambil menyifatkan senario itu dilihat agresif namun tidak mustahil untuk berlaku.

Menurut beliau, harga emas berpotensi mencapai paras US$5,000 seawal separuh pertama 2026 dan mungkin mencecah sehingga US$6,000 sekiranya bank pusat mempercepatkan pembelian emas sebagai langkah pertahanan dan pelabur terus meningkatkan lindung nilai daripada inflasi dan ketegangan geopolitik.

 

Permintaan Didorong Bank Pusat, Tetapi Kekurangan Tidak Dijangka

 

Permintaan emas global daripada kalangan bank pusat kini melonjak kepada 21 peratus, berbanding hanya 1.8 peratus pada 2010. Meskipun pertumbuhan ini dilihat agak rancak, Mohd Sedek percaya pasaran masih jauh daripada risiko kekurangan bekalan.

Katanya, syarikat perlombongan, selepas beberapa tahun mencatat penurunan keuntungan, kini berada dalam kedudukan lebih baik untuk meningkatkan pengeluaran, walaupun pertumbuhan bekalan dijangka terus ketinggalan berbanding permintaan global.

“Permintaan jauh lebih kukuh berbanding sebelum ini. Itu sahaja sudah cukup mendorong harga lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menjangkakan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan menambah pegangan emas, memandangkan rizab negara masih berasaskan dolar AS dan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus tidak memberikan keperluan untuk penambahan baharu.

“Pada masa ini, tiada sebab bagi bank pusat kita meningkatkan pembelian emas,” katanya.

 

Pelabur Malaysia: Emas Kekal Sebagai Lindung Nilai Jangka Panjang

 

Mohd Sedek mengingatkan pelabur bahawa emas tidak wajar dilihat sebagai instrumen keuntungan jangka pendek.

Beliau berkata pulangan tahunan lazimnya berada dalam julat satu hingga dua peratus, manakala dalam keadaan pasaran yang baik, kenaikan hanya sekitar tiga hingga empat peratus.

“Jangan pegang emas semata-mata untuk mengejar keuntungan. Simpanlah sekurang-kurangnya lima hingga enam tahun, matlamatnya adalah perlindungan daripada ketidakpastian,” katanya.

Menurutnya, pasaran emas Malaysia masih didominasi emas perhiasan, dengan pengguna cenderung memilih emas 916 dan 999, manakala emas jongkong serta Kijang Emas hanya menyumbang bahagian kecil dalam permintaan keseluruhan.

“Permintaan di kedai emas seperti Poh Kong dan Habib terus meningkat, didorong tingkah laku pengguna yang biasanya dipacu apabila pasaran saham menjadi lemah, kadar deposit tetap tidak menarik, atau ketika isi rumah mencari simpanan nilai yang lebih stabil,” katanya.

Secara keseluruhan, trend sepanjang 2025 menunjukkan bahawa momentum emas masih utuh, meskipun kadar kenaikannya lebih sederhana.

Sasaran US$5,000 mungkin belum tercapai tahun ini, namun 2026 dijangka menandakan permulaan fasa baharu dalam kitaran harga emas global. Buat masa ini, peningkatan mungkin perlahan, tetapi trajektori harga kekal ke arah peningkatan, kata beliau

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan