EKONOMI

Kerajaan Bakal Bina Ekosistem Bantu Industri Berinovasi Dalam Era Digital -- Gobind

02/12/2025 03:22 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kerajaan bertanggungjawab untuk mewujudkan ekosistem yang membolehkan pihak industri berinovasi dan berkembang maju dalam era digital, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata walaupun kerajaan mengiktiraf kepentingan teknologi, tetapi ia sedar bahawa industri memerlukan blok binaan dan peralatan untuk membolehkan penggunaan dan pembangunan teknologi. 

“Ianya penting kerana kita sentiasa bercakap mengenai membina ekosistem yang akan memberi manfaat dan memperkasakan industri.

“Akhirnya, kita bercakap mengenai cara untuk memperkasakan industri agar mereka boleh memanfaatkan ekosistem ini yang kita bina untuk menyampaikan teknologi yang kita perlukan agar kita dapat melihat penyelesaian kepada masalah masa lepas, yang boleh diselesaikan oleh teknologi hari ini,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kepimpinan Kecerdasan Buatan (AI) di sini hari ini. 

Oleh itu, Gobind berkata Kementerian Digital ditubuhkan untuk membangunkan strategi bagi bidang utama seperti infrastruktur, keselamatan, kepercayaan dan bakat dalam segmen digital. 

Beliau berkata walaupun kerajaan akan menyokong pertumbuhan industri, ia masih memerlukan garis panduan dan cadangan daripada industri untuk membina ekosistem tersebut. 

“Saya hampir pasti jika kita semua bekerjasama, kita akan memastikan bahawa kita bukan sahaja membina ekosistem yang akan membantu setiap orang daripada kita, tetapi akhirnya kita juga memastikan tiada siapa yang akan ketinggalan dalam dunia baharu transformasi digital baharu yang kita semua sering bincangkan dengan penuh keterujaan,” katanya. 

Persidangan anjuran Asia School of Business itu menghimpunkan perintis AI global, pemain industri, inovator serantau, dan penggubal dasar untuk meneroka masa depan kepimpinan dalam dunia yang dikuasakan AI. 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia School of Business Professor Joseph Cherian dalam satu kenyataan hari ini berkata persidangan itu bertujuan memastikan pembuat keputusan di rantau ini berkemampuan untuk melayari kesan AI yang meluas merentasi ekonomi dan masyarakat. 

Beliau berkata sistem pintar itu menjadi penting kepada strategi negara, daya saing korporat dan kerjasama rentas sempadan, pemimpin hari ini mesti menggabungkan literasi teknikal dengan pertimbangan yang wajar serta etika yang jelas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan