AM

Pelaksanaan NAS Diperluas Ke Seluruh Negara Mulai Awal Tahun Hadapan

02/12/2025 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) akan diperluas ke seluruh negara dengan projek rintis dijadual bermula pada awal tahun hadapan di sembilan kawasan terpilih.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata perkara itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan kawasan yang mempunyai kadar ketidakseragaman alamat paling tinggi sebelum diperluas ke seluruh negara.

“Dengan pelaksanaan NAS ini, semua premis di seluruh negara termasuk di kawasan kampung, luar bandar dan pedalaman akan mempunyai alamat yang standard, lengkap dan diiktiraf.

“Pendekatan ini dijangka bukan sahaja dapat memperkemas sistem penyampaian perkhidmatan, tetapi turut menyumbang kepada keselamatan komuniti, kecekapan pentadbiran dan menyokong pembangunan ekosistem digital secara menyeluruh,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris tentang langkah dan pelan tindakan kerajaan untuk memperluas pelaksanaan Program Kampung Digital secara menyeluruh di seluruh negara.

Teo berkata pelaksanaan Program Kampung Digital selari dengan NAS yang sedang dibangunkan oleh MCMC itu dengan NAS akan menjadi sumber alamat yang sah, seragam dan diiktiraf oleh kerajaan Persekutuan, serta merupakan sumber rujukan utama dalam pengurusan lebih 12 juta alamat di seluruh Malaysia.

“Sistem ini akan menyokong pelbagai sektor termasuk perkhidmatan pos, ekonomi, keselamatan dan kecemasan, perancangan bandar, utiliti, kerajaan tempatan serta agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pelaksanaan Program Kampung Digital di Melaka yang dijayakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mengatasi isu ketiadaan alamat yang jelas, lengkap dan berstruktur di 618 kampung tradisional yang dikenal pasti.

“Melalui inisiatif Program Kampung Digital Melaka ini, setiap premis dikenal pasti, dipetakan dan direkodkan secara digital menggunakan Geographical Information System (GIS), seterusnya diberi alamat standard dan kod QR unik.

“Hal itu membolehkan lokasi disahkan dengan lebih tepat oleh agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan dan pihak industri,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga telah membawa manfaat kepada penduduk kampung dalam aspek pengurusan, penghantaran, dan perkhidmatan lain yang bergantung pada ketepatan alamat rumah.

Selain itu, inisiatif berkenaan membantu kerajaan memperoleh data perangkaan yang lebih tepat berkaitan jumlah rumah sebenar di Melaka dan juga sempadan kampung-kampung yang terletak di negeri itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan