AM

WCE: 19 Penduduk Terlibat Perobohan Mohon Rumah Smart Sewa - Borhan

02/12/2025 04:58 PM

SHAH ALAM, 2 Dis (Bernama) -- Sebanyak 19 penduduk yang terlibat dalam isu perobohan kediaman dan pengambilan tanah di Kampung Jawa, Klang bagi projek Seksyen 3 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) telah memohon kemasukan ke rumah di bawah Skim Smart Sewa yang ditawarkan kerajaan Selangor.

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata bagaimanapun proses kelulusan bagi kemasukan tetap bergantung kepada prosedur ditetapkan kerajaan negeri seperti syarat sewaan dan bayaran deposit.

"Ya, semua 19 penduduk sudah mohon skim Smart Sewa tetapi untuk masuk mereka perlu ikut prosedur ditetapkan.

“Walaupun kerajaan negeri bersedia menyediakan unit Smart Sewa sebagai penempatan sementara, penduduk perlu mematuhi syarat asas termasuk bayaran deposit dan kadar sewaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemberian Bantuan Projek Skim Ceria Tahun 2025 oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun penduduk meminta supaya proses kelulusan dipercepat, pihaknya perlu meneliti beberapa perkara kerana terdapat permintaan supaya kerajaan negeri menanggung kos sewaan selama setahun.

Borhan berkata permintaan itu boleh dipertimbangkan jika hanya untuk tempoh enam bulan kerana untuk setahun kerajaan negeri perlu menanggung kos kira-kira RM200,000 bagi semua keluarga terlibat.

Semua unit Smart Sewa ditawarkan, katanya berada dalam lingkungan kurang 10 kilometer dari kampung berkenaan dengan empat lokasi pilihan termasuk unit dengan fasiliti kolam renang yang disewa pada kadar RM900 sebulan.

“Dalam isu ini, kerajaan negeri sudah memberi banyak ruang termasuk beberapa kali menangguhkan arahan pengosongan, namun proses itu berlarutan kerana permintaan penduduk.

“Malah, pengambilan tanah juga dibuat mengikut prosedur dan bayaran pampasan 75 peratus telah dibuat,” katanya dan menambah hanya pemilik sah akan dipertimbangkan bagi kemasukan ke Smart Sewa.

Berhubung kerja-kerja perobohan kediaman yang bermula hari ini, Borhan berkata proses berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini.

"Hari ini (Selasa) tiada apa-apa insiden, malah saya sendiri pantau dari pagi dan semuanya lancar,” katanya.

Terdahulu, ‎‎Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata proses perobohan terkawal dan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

‎Lebuhraya WCE merupakan projek infrastruktur utama negara melibatkan rangkaian sepanjang 233 kilometer yang dirancang bagi menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak serta turut berfungsi sebagai laluan alternatif ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi mengurangkan kesesakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan