EKONOMI

Belanjawan 2026 Sarawak Lulus RM326 Juta Untuk Sektor Pertanian

02/12/2025 05:56 PM

KUCHING, 2 Dis (Bernama) -- Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak telah menerima peruntukan sebanyak RM326 juta di bawah Belanjawan Negeri 2026, kata Menterinya Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Peruntukan itu, yang naik sebanyak RM145 juta berbanding dengan jumlah yang diterima pada 2025, akan memudahkan usaha kementerian dalam mencapai agenda transformasi pertanian negeri.

“Pelaburan yang signifikan ini akan mengukuhkan usaha bagi memodenkan sektor pertanian melalui teknologi digital, menggalakkan penglibatan sektor swasta yang lebih besar selain membina rantaian bekalan yang lengkap,” katanya ketika menggulung perdebatan untuk kementeriannya di Dewan Undangan Negeri yang bersidang hari ini. 

Sektor pertanian terus memainkan peranan penting dalam ekonomi Sarawak, ia menyumbang sejumlah RM15.1 bilion kepada keluaran dalam negara kasar semasa 2024 dan menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 247,400 orang. 

Rundi berkata walaupun sektor ini menunjukkan pertumbuhan yang menggalakkan, Sarawak mesti terus meningkatkan pengeluaran makanan, terutamanya beras, buah-buahan, sayur-sayuran, perikanan dan ternakan untuk mengurangkan defisit perdagangan serta menjamin keselamatan makanan.

Kerajaan sedang meningkatkan usaha untuk menambah pengeluaran padi selepas tahap kecukupan Sarawak menurun kepada 21 peratus pada 2024, dengan output padi dijangka jatuh lebih jauh pada tahun ini.

 “Untuk menangani kekurangan ini, kerajaan negeri telah melakukan pembaharuan yang komprehensif dalam pembangunan padi komersial seperti pembangunan projek baharu di bawah model pembuatan reka-bina-kendali-pindah (DBOT), memperluaskan pengairan dan mempertingkatkan penyertaan sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 15,000 hektar telah dikenal pasti untuk pembangunan padi berskala besar di Tanjung Datu, Batu Danau dan Bukit Begunan, dengan 6,100 hektar sudah diluluskan bagi tujuan pelaksanaan. 

Menurut Rundi, keputusan percubaan dari penyelidikan mengenai pelbagai beras berhasil tinggi dan berdaya tahan, yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia termasuk tiga universiti tempatan di Stumbin, Sri Aman, menunjukkan bahawa varieti itu mempunyai hasil 30 peratus lebih baik berbanding varieti kawalan, MR297. 

“Kabinet negeri juga telah meluluskan penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak yang akan berfungsi sebagai pihak berkuasa pusat bagi menyelaras, mengawal serta mengawasi semua aspek yang berkaitan dengan industri padi dan beras di Sarawak,” katanya lagi. 

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan