GEORGE TOWN, 2 Dis (Bernama) -- Operasi kapal persiaran mewah MV Piano Land bakal menyemarakkan sektor pelancongan negara sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi tempatan, kata Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yeoh Soon Hin.
Beliau berkata MV Piano Land beroperasi di bawah model pelayaran sewaan penuh dengan Pelabuhan Klang sebagai pangkalan utamanya dan akan mengendalikan pelayaran berjadual ke Pulau Pinang serta Pulau Langkawi.
"Walaupun kapal persiaran itu melibatkan siri pelayaran di dalam Malaysia, namun ia mendapat permintaan yang baik daripada pelancong luar seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.
"Selain itu, dengan membawa pelancong ke Pulau Pinang dan Langkawi, mereka akan bersiar-siar dan membeli-belah yang secara tidak langsung dapat mempromosikan tempat pelancongan," katanya kepada pemberita selepas menyambut penumpang MV Piano Land di Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT), di sini hari ini.
Kapal persiaran mewah MV Piano yang mempunyai 13 tingkat dari Hong Kong itu boleh membawa sehingga 2,001 penumpang dan 800 kru kapal dengan menawarkan hospitaliti mesra Muslim serta 11 pelayaran di Malaysia dari 29 Nov hingga 25 Dis.
Yeoh yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) berkata pelayaran itu adalah hasil kerjasama berterusan antara pengendali pelabuhan, rakan kongsi industri dan Kementerian Pengangkutan.
"Lapan pangkalan berlepas itu akan mewujudkan faedah ekonomi langsung dan tidak langsung untuk pengendali pelancongan, peniaga kecil dan rantaian bekalan yang lebih luas di seluruh Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata Pulau Pinang muncul sebagai hab pelabuhan utama serantau disokong oleh unjuran yang kukuh, iaitu SPCT dijangka mengendalikan 679,809 penumpang pada tahun ini dengan jumlah penumpang dijangka meningkat sebanyak 47 peratus pada 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial