AM

Dewan Negara: Keterjaminan Makanan Antara Tumpuan Perbahasan RUU Perbekalan

02/12/2025 06:12 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Isu keterjaminan makanan antara perkara utama yang dibangkitan oleh enam pembahas pada hari pertama sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara hari ini.

Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mencadangkan kerajaan melaksanakan pertanian berteknologi tinggi seperti pertanian presisi (precision farming) dan pertanian menegak (vertical farming) yang tidak memerlukan tanah bagi menyelesaikan kebergantungan negara kepada hasil-hasil sumber makanan dari negara luar atau import.

“Golongan muda perlu didedahkan dengan pertanian ini. Mereka tidak perlu bergelumang kotor, lumpur, cukup dengan berpakaian ala-ala saintis, duduk di dalam kabin, atau bangunan dengan mengawal suhu. Itu namanya precision. Ia boleh dikawal secara tepat, sama ada hendak panas atau sejuk.

“Sama juga dengan vertical farming yang boleh menjimatkan ruang dan gunakan ruang yang sempit untuk kita menerokai apa yang dinamakan sebagai pertanian berteknologi tinggi,” katanya.

Mengulas perkara sama, Senator Abun Sui Anyit berkata dalam konteks pertanian di Sarawak, negeri itu wajar dimajukan sebagai jelapang padi baharu negara memandangkan negeri itu memiliki tanah pertanian yang luas dan berpotensi tinggi untuk meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata peruntukan yang disalurkan kepada sektor pertanian Sarawak perlu dimanfaatkan secara optimum bagi membantu komuniti luar bandar yang majoritinya bergantung kepada sektor itu sebagai sumber pendapatan.

Jabatan Pertanian di kawasan Sarawak menerima peruntukan RM28 juta bagi program jaminan makanan, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak diperuntukkan RM9 juta bawah inisiatif sama.

“Pembangunan industri padi Sarawak pula hanya diperuntukkan RM1.5 juta. Bagi saya jumlah ini masih belum mencukupi, sedangkan hasrat kita ialah untuk menjadikan Sarawak sebagai jelapang padi kerana tanahnya masih luas berbanding Kedah yang selama ini menjadi jelapang padi negara,” katanya.

Turut dibangkitkan pada sesi perbahasan ialah cadangan kepada kerajaan agar menambah rumah dan peruntukan pembangunan khusus bagi masyarakat Orang Asli, termasuk untuk usahawan dan anak muda komuniti itu.

Senator Manolan Mohamad berkata dana kerajaan perlu dibahagikan dengan lebih terperinci untuk pembangunan masyarakat dan usahawan Orang Asli berikutan ramai anak muda Orang Asli masih tidak memiliki rumah, meskipun telah diperuntukkan menerusi Belanjawan 2025.

Beliau turut mencadangkan ladang-ladang Tanam Semula Komersial (TSK) yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama agensi seperti FELCRA dan RISDA diserahkan kepada jawatankuasa penduduk tempatan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 untuk bacaan kali kedua. Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan