AM

Utamakan Ai Dalam Usaha Modenkan, Pertingkat Kualiti Pendidikan - Sultan Nazrin

02/12/2025 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) --  Pemodenan dan peningkatan kualiti pendidikan Malaysia termasuk memanfaatkan peralatan kecerdasan buatan (AI) generatif harus diberi keutamaan di semua peringkat, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah Malaysia perlu terus memperkukuh pendidikan teknikal bagi memastikan kemahiran pelajar kekal selaras dengan keperluan industri.

“Kualiti tenaga kerja kita amat kritikal untuk menyesuaikan diri dengan cabaran masa depan. Penyesuaian institusi juga diperlukan dalam usaha menghentikan dan menterbalikkan masalah penghijrahan tenaga mahir kita,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika melancarkan buku Chronicling Themes in the Economic and Social History of Malaysia di sebuah hotel di sini hari ini.

Baginda bertitah bahawa aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju sepenuhnya dan berpendapatan tinggi memerlukan penyesuaian terhadap persekitaran global yang dicirikan oleh pemecahan ekonomi, populisme yang semakin meningkat serta peluang baharu dalam sektor perkhidmatan dan pertumbuhan produktiviti.

“Jika kita berjaya membuat pilihan dasar domestik yang berani dan diperlukan untuk mempercepat pertumbuhan produktiviti dan mempromosikan perubahan struktur dengan lebih lanjut, kita akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk memanfaatkan peluang yang wujud pada zaman yang penuh gejolak ini," titah baginda.

Terdahulu, baginda mengimbas kembali penubuhan Projek Sejarah Ekonomi Malaysia (EHM) di Universiti Malaya 25 tahun lepas untuk mengumpul catatan sejarah ekonomi mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar Tanah Melayu pada awal abad ke-20.

Kesemua penemuan ini kemudian diterbitkan dalam buku baginda pada 2017 iaitu Charting the Economy.

Sultan Nazrin bertitah projek itu telah memperluas capaiannya pada 2016 melalui laman sesawang khusus yang mengandungi pangkalan data ekonomi dan populasi yang besar serta akses kepada dokumen arkib digital Pejabat Penjajahan British.

“Laman sesawang EHM… menempatkan artikel-artikel oleh para sarjana terkemuka mengenai sejarah ekonomi dan sosial Malaysia. Setakat ini, lebih 60 artikel telah dimuat naik,” titah baginda.

Daripada artikel terbabit, 35 telah dipilih untuk buku baharu ini yang merangkumi tema pembangunan ekonomi, sosial dan evolusi negeri serta bandar.

Sultan Nazrin bertitah bahawa memahami sejarah ekonomi dan sosial sesebuah negara adalah penting untuk merangka dasar yang berkesan.

“Dasar tidak diwujud dan dilaksana secara terasing. Konteks itu penting. Sejarah juga penting. Budaya itu penting, begitu juga dengan keupayaan institusi,” titah baginda.

Baginda bertitah buku ini menjejaki transformasi Malaysia daripada pemerintahan kolonial kepada kemerdekaan dan mengkaji episod-episod penting termasuk tadbir urus British dalam sektor bijih timah dan getah, pendudukan Jepun, Darurat, Dasar Ekonomi Baharu serta peralihan struktur Malaysia daripada pertanian kepada industri moden dan perkhidmatan.

Bab-bab dalam buku ini juga membincangkan isu kontemporari seperti perangkap pendapatan sederhana, cabaran pendidikan, sumbangan wanita kepada pembangunan, kebangkitan Kuala Lumpur sebagai bandar utama di Asia serta kemajuan Pulau Pinang sebagai hab elektrik dan elektronik bertaraf global.

Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada para penulis dan penerbit sambil bertitah: “Beta berharap anda semua akan berasa seronok ketika membaca buku ini sama seperti beta berasa seronok ketika menyusunnya.”

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan