EKONOMI

Farlim, Fortune Lander Bekerjasama Laksana Projek Di Pulau Pinang Dengan GDV RM160 Juta

02/12/2025 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Farlim Group (Malaysia) Bhd memeterai perjanjian usaha sama dengan Fortune Lander (M) Sdn Bhd bagi melaksanakan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM160 juta di Pulau Pinang.

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata projek berkenaan akan dibiayai sepenuhnya melalui dana yang dijana secara dalaman berjumlah RM15.94 juta.

Jelasnya, pembangunan ini melibatkan sebidang tanah pegangan bebas berkeluasan kira-kira 4,629.6 meter persegi.

Menurut Farlim Group, projek tersebut terdiri daripada unit komersial, kedai separa berkembar dan kedai banglo.

"Pembangunan ini seiring dengan strategi korporat syarikat terutamanya tumpuannya terhadap pertumbuhan mampan, kepelbagaian portfolio dan pembangunan yang berpusatkan komuniti.

"Dengan memanfaatkan kecekapan teras dan kepakaran industri, syarikat bermatlamat untuk meningkatkan prestasi kewangan sambil mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang saham, pihak berkepentingan dan komuniti," kata Farlim Group yang merupakan syarikat pemaju hartanah.

Farlim Group berkata pembangunan berkenaan mempamerkan peluang strategik untuk pengembangan yang menguntungkan susulan permintaan yang semakin meningkat untuk pembangunan berorientasikan transit.

Jelasnya, ia sekali gus memberikan prospek menarik untuk pelaburan dan penjanaan pendapatan mampan dalam jangka panjang.

Katanya, projek ini juga akan meningkatkan keterlihatan pasaran syarikat selain mengukuhkan kedudukan jenamanya.

"Peranan tersebut secara tidak langsung mempamerkan keupayaan syarikat untuk menerajui pembangunan perubahan berskala besar yang dijangka meningkatkan keyakinan pelabur dan menarik kerjasama strategik," tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan