EKONOMI

WonderBrew Dari Dapur Rumah Ke Arena Global, Sasar Ganda Pengeluaran Tahun Depan

07/12/2025 12:30 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Pengeluar tempatan minuman “kombucha” atau soda semula jadi menerusi fermentasi teh, WonderBrew menyasar untuk menggandakan pengeluaran pada 2026 memandangkan jenama itu telah meningkatkan inovasi dan merangka strategi memperluas jejaknya di Asia Tenggara.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Joseph Poh berkata sejak penubuhan pada 2018, WonderBrew telah menjual lebih 1.5 juta botol dan sedang meneroka peluang untuk menembusi pasaran Singapura dan Indonesia sebagai sebahagian strategi pertumbuhan serantau.

Beliau berkata justeru,pihaknya terus menumpukan perhatian kepada inovasi dari segi rasa dan pembangunan produk baharu.

Apabila ditanya mengenai perjalanan WonderBrew, Poh mengimbau pertemuannya dengan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi, Loke Boon Eng, di sebuah bengkel kombucha lapan tahun lepas.

Mereka memulakan perjalanan yang mencabar dan belum diteroka, mempelajari segala-galanya daripada pembuatan sehingga pengedaran dan pemborongan minuman kombucha itu.

“Kami tiada pengetahuan mengenai kombucha atau perniagaan sebelum ini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Dari dapur rumah yang sederhana di Subang Jaya, Selangor, WonderBrew terus berkembang ke sebuah lot kedai kecil di Kelana Jaya dan kini menjadi pusat pengeluaran sepenuhnya yang terletak di Bandar Sunway, Selangor, katanya.

Beliau berkata pusat pengeluaran itu menempatkan tiga tangki, masing-masing mampu menghasilkan 10,000 botol, mencukupi untuk menampung dua hari jualan pada kadar harian 5,000 botol.

Jenama itu telah berkembang menjadi pengeluar kombucha terkemuka negara, dengan lebih 2,000 titik jualan runcit meliputi pasar raya, kedai serbaneka, kafe, hotel dan restoran.

Poh berkata oleh itu, pengiktirafan di Anugerah Kombucha Dunia 2025 baru-baru ini, dengan WonderBrew muncul sebagai antara pemenang terbesar apabila meraih satu emas, empat perak, dan satu gangsa dalam kategori rasa dan reka bentuk, menambah pencapaian untuk pertumbuhan syarikat.

“Bagi kami untuk mencapai sesuatu seperti itu dan diiktiraf di peringkat global, kami sebenarnya agak terkejut kerana berjaya memenangi enam gelaran secara keseluruhannya. Kami hanya menjangkakan sebilangan kecil sahaja jadi, ini lebih daripada harapan kami,” katanya.

Beliau berkata anugerah itu memberi petanda baik bagi rancangan WonderBrew untuk mempromosikan kombucha kepada lebih ramai rakyat Malaysia, meningkatkan jenama tempatan Malaysia dan keyakinan pengguna.

Kemenangan itu diraih menerusi Kombucha Passionfruit Mint yang paling laris dengan menjulang emas dalam kategori rasa manakala Nihon Green Tea, Mango Jasmine dan Raspberry Lemon Jun Tea masing-masing memenang perak bagi kategori yang sama.

Nihon Green Tea pula memperoleh perak bagi Reka Bentuk Botol Terbaik Dunia manakala Pink Guava Jun Tea meraih gangsa bagi kategori rasa.

Anugerah Kombucha Dunia kini memasuki tahun ketiga dan dianjurkan dengan kerjasama Kombucha Brewers International.

Pengiktirafan itu merupakan penanda aras global bagi kualiti dan kreativiti dalam industri kombucha yang berkembang pesat.

Edisi tahun ini adalah yang paling kompetitif setakat ini, mengetengahkan 360 penyertaan dari 39 negara bersaing untuk anugerah utama dalam 22 kategori berbeza, meningkat daripada 250 penyertaan pada 2024.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan