AM

Inisiatif Kerajaan Disambut Hangat, Rancakkan MADANI Lebih Meriah Daripada Jangkaan

07/12/2025 06:14 PM

Oleh Amanina Mohamad Yusof & Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang berakhir hari ini menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran hampir 400,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, melebihi sasaran awal 300,000 orang.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga serta pelbagai tawaran istimewa yang menjadi tarikan orang ramai untuk hadir ke pusat pentadbiran negara.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kehadiran pengunjung yang melebihi sasaran menunjukkan sambutan menggalakkan daripada rakyat selain faktor cuaca baik yang turut menyumbang kepada kejayaan penganjuran.

Beliau berkata program itu berjaya menjadi platform penyampaian maklumat kerajaan secara langsung kepada rakyat dengan penyertaan kementerian dan agensi melalui pameran, kaunter penerangan dan penawaran pelbagai perkhidmatan.

“Insya-Allah, tahun depan kita buat lagi (program)… ulang tahun keempat pula,” katanya kepada Bernama di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan Majlis Penutup program itu hari ini turut memuji penganjurannya yang disifatkan luar biasa dari segi sambutan rakyat.

Beliau berkata program itu membolehkan rakyat menilai pencapaian Kerajaan MADANI selama tiga tahun selain menikmati perkhidmatan kerajaan yang ditawarkan.

Pada majlis itu, Anwar turut melancarkan dua inisiatif di bawah agenda pembangunan rakyat iaitu program Sahabat Penggerak MADANI dan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0, yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta memperkasakan komuniti di peringkat akar umbi.

Sahabat Penggerak MADANI adalah individu yang dilatih Akademi Kenegaraan Malaysia untuk menjadi ejen penyebar kesedaran dan pemahaman mengenai kenegaraan, kepimpinan serta dasar kerajaan semasa di peringkat akar umbi.

SIKR pula satu inisiatif Kerajaan MADANI bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar eKasih mendapat perlindungan insurans.

Program Rancakkan MADANI merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI, yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Antara acara menjadi tumpuan rakyat ialah program pertukaran topi keledar anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan dengan 5,000 topi keledar baharu yang menepati standard keselamatan ditetapkan ditawarkan untuk ditukar oleh orang ramai.

Selain itu, segmen Ukhuwah Rakyat MADANI di bawah Kementerian Perpaduan Negara turut menarik perhatian pengunjung yang berpeluang mendalami seni busana tradisional seperti teknik membuat tanjak dan menggayakan kain samping. Turut menjadi tarikan ialah khidmat mencuci emas secara percuma serta aktiviti melukis potret secara digital.

Reruai Visit Malaysia 2026 kendalian agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut menjadi tumpuan utama apabila menawarkan pelbagai aktiviti interaktif, demonstrasi kebudayaan serta promosi pakej pelancongan pada harga berpatutan.

Antara pengisian yang menarik perhatian ialah persembahan kebudayaan, demonstrasi arkeologi, edaran makanan warisan, aktiviti mewarna batik serta demonstrasi dan pertandingan roti canai terbang dan teh tarik.

Orang ramai juga berpeluang merasai sendiri pengalaman menyertai persidangan ASEAN melalui pameran interaktif Kementerian Luar (Wisma Putra) yang bertujuan meningkatkan kefahaman rakyat mengenai peranan, proses dan pencapaian ASEAN.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, Kementerian Luar Shamsul Nizam Shamsuddin berkata program itu memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat lebih dekat proses membuat keputusan dalam ASEAN, struktur organisasi serta platform perbincangan termasuk simulasi suasana Sidang Kemuncak ASEAN dan pendedahan kepada dokumen serta hasil utama mesyuarat-mesyuarat ASEAN.

Karnival Kerjaya MADANI melibatkan penyertaan 30 majikan dengan lebih 5,000 peluang pekerjaan turut menjadi tarikan generasi muda dan pencari kerja.

Di luar acara utama, turut berlangsung Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang menghimpunkan pakar dasar daripada sektor awam dan penggiat industri, membincangkan pelbagai topik dari aspek reformasi hingga isu kemiskinan melalui lima forum berasingan.

Pekeliling ILTIZAM dan Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA) yang dilancarkan Shamsul Azri semalam bakal menjadi pemangkin utama dalam mengukuhkan tadbir urus berasaskan prestasi di seluruh sistem penyampaian kerajaan.

Pekeliling itu menyokong pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan (ILTIZAM) yang berkuat kuasa pada 1 Dis lepas, manakala I-PPA berfungsi sebagai instrumen rasmi untuk mengukur, menilai dan memantau kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan sebagaimana digariskan di bawah Seksyen 7(1) akta berkenaan.

Pelaksanaan ILTIZAM adalah selaras dengan Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan (NPGRP) dan bergerak seiring dengan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), yang setakat ini menunjukkan hasil ketara.

Setakat ini, sebanyak 1,007 projek RKB telah didaftarkan di seluruh negara dengan 323 projek siap iaitu peningkatan 182 projek berbanding sebelum ini, sekali gus menjimatkan lebih RM2.01 bilion setahun daripada kos pematuhan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan