PASARAN > BERITA

RINGGIT KEMBALI MENGUKUH BERBANDING DOLAR AS PADA SESI AWAL

27/09/2024 08:51 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Ringgit meningkat semula berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Jumaat selepas mengalami pembetulan teknikal semalam, kata penganalisis.

Pada 8.03 pagi ini, mata wang tempatan itu diniagakan lebih mengukuh pada paras 4.1235/1320 berbanding  4.1430/1485 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pembetulan teknikal ringgit semalam disebabkan oleh aktiviti belian berlebihan yang menyebabkan segelintir peniaga mendapatkan keuntungan.

“Namun, persepsi pengurangan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka (FOMC) negara maju itu pada November dan Disember, masih lagi ketara.

“Sehubungan itu, pengumuman mengenai inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi AS malam ini akan dipantau rapat oleh kalangan komuniti pelabur,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata paras sokongan segera untuk ringgit adalah di paras RM4.0728, malah beliau yakin mata wang tempatan itu cenderung ke paras berkenaan berikutan Kadar Dasar Semalaman (OPR) mungkin kekal bagi tempoh berbaki tahun ini dan dinaikkan pada 2025.

“Ini hanya menjadikan ringgit dilihat menarik terutama selepas bank pusat di rantau Asia yang telah memulakan langkah pelonggaran monetari seperti Indonesia dan Filipina," katanya. 

Dalam pada itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8442/8504 daripada 2.8634/8674 semalam, mengukuh berbanding euro kepada 4.6084/6179 daripada 4.6157/6218 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.5284/5398 daripada 5.5317/5391.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit juga diniagakan secara positif.

Ini termasuk meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2109/2181 daripada 3.2204/2249 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.36/7.39 daripada 7.40/7.41.

Ringgit juga naik berbanding rupiah Indonesia kepada 271.8/272.6 berbanding 273.1/273.6 dan meningkat kepada 12.7229/7570 daripada 12.7242/7489 berbanding baht Thailand, semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan