PASARAN > BERITA

RINGGIT TERUS DITUTUP RENDAH SUSULAN SENTIMEN BERCAMPUR-CAMPUR PASARAN

27/02/2025 07:21 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Ringgit terus lemah berbanding dolar AS di tengah-tengah sentimen pasaran yang bercampur-campur ketika Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas Kanada dan Mexico pada awal Mac.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.4410/4480 daripada 4.4260/4305 pada Rabu.

Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit secara umumnya lebih lemah berbanding dolar AS, berada rendah sedikit daripada paras rintangan segera pada RM4.45.

Beliau berkata mata wang negara-negara Asia juga mencatatkan prestasi lemah berbanding dolar AS.

Kemerosotan hasil Perbendaharaan AS dan prestasi kurang memberangsangkan pasaran ekuiti global memberi bayangan bahawa para pelabur mungkin mengambil pendekatan mengelak risiko. 

Hasil Perbendaharaan AS 10 tahun turun sebanyak 33 mata asas kepada 4.25 peratus.

“Keadaan pasaran sedemikian lazimnya akan memberi manfaat kepada dolar AS kerana peniaga dan pelabur mencari perlindungan daripada turun naik pasaran.

“Aliran keluar bersih dana asing yang berterusan dalam ekuiti Malaysia juga menunjukkan minat risiko pelabur asing telah menurun dan menjadi defensif.

“Oleh itu, ringgit kini bergerak ke arah paras rintangan segera pada RM4.45 berikutan sentimen pengelakan risiko dalam pasaran kewangan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.9634/9683 daripada 2.9631/9663, merosot berbanding pound British kepada 5.6303/6392 daripada 5.5993/6050 dan susut berbanding euro kepada 4.6559/66335.

Ringgit susut sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.9634/9683 daripada 2.9631/9663, turun berbanding pound Britain kepada 5.6303/6392 daripada 5.5993/6050 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.6559/6633 daripada 4.6455/6503.

Unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain. 

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3122/3177 daripada 3.3079/3115 dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.69 daripada 7.64/7.66.

Bagaimanapun unit tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0964/1240 daripada 13.1281/1469 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 269.8/270.4 daripada 270.2/270.5.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan