PASARAN > BERITA

HARGA MSM DIUNJURKAN RM4,350 SATU TAN TAHUN INI, RM4,300 PADA 2026 - APEX SECURITIES

11/11/2025 10:46 AM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Apex Securities Bhd mengekalkan unjuran harga purata minyak sawit mentah (MSM) bagi setahun penuh 2025 pada RM4,350 satu tan manakala RM4,300 pada tahun depan.

Harga MSM setakat ini bagi 2025 adalah RM4,357 satu tan.

Dalam nota penyelidikan hari ini, firma itu menjelaskan harga MSM meningkat sebanyak 0.9 peratus bulan ke bulan untuk ditutup pada RM4,412.50 satu tan pada Oktober.

“Berdasarkan inventori minyak sawit yang dijangka berkurangan pada November hingga Disember disebabkan pengeluaran yang lebih rendah secara bermusim, kami menjangkakan harga MSM kekal kukuh.

“Kekukuhan harga ini akan disokong oleh permintaan berterusan daripada segmen makanan dan biobahan api, di samping pertumbuhan pengeluaran yang lebih perlahan di Indonesia dan Malaysia,” menurutnya.

Oleh itu, Apex Securities menjangkakan harga MSM kekal berdaya tahan hingga 2026, dengan peningkatan sederhana pada separuh pertama 2026 dan pemulihan yang lebih ketara pada separuh kedua 2026, susulan pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd pula mengekalkan harga MSM pada RM4,300 satu tan bagi tahun ini dan RM4,000 pada tahun depan.

“Selepas meningkat lagi pada Oktober, harga MSM mula melemah pada November dan dijangka hambar dari tahun ke tahun menjelang 2026 berikutan bekalan yang semakin baik dan peningkatan paras inventori,” menurunya.

Walaupun paras inventori dijangka lebih tinggi pada 2026 namun keseimbangan keseluruhan antara bekalan dan permintaan minyak makan di peringkat global masih terhad.

Oleh itu, harga MSM dijangka kekal kukuh pada RM4,000 satu tan atau sedikit lebih tinggi walaupun berlaku penurunan tahun ke tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan