Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah, sejajar dengan prestasi bercampur-campur di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran terjejas oleh harga minyak mentah yang rendah dan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dalam prospek ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kurang menggalakkan.
“Bagaimanapun, penurunan disokong oleh laporan mengenai kemerosotan pengeluaran getah asli tempatan dan jualan kenderaan elektrik (EV) pada peringkat global yang kukuh.
“Dorongan baharu China dalam sektor EV dan ketidaktentuan mengenai pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) berikutan negara-negara anggota EU memohon penangguhan tambahan selama setahun turut memberikan sokongan kepada pasaran,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, katanya niaga hadapan getah Jepun meningkat pada sesi keempat berturut-turut, disokong oleh yen yang rendah dan sentimen positif dalam sektor automotif.
Beliau berkata harga minyak mentah merosot dalam dagangan Asia, dengan sokongan daripada petunjuk bahawa penutupan sementara kerajaan AS akan berakhir tidak lama lagi.
Pada masa ini, harga minyak mentah Brent susut 0.64 peratus kepada US$64.75 setong.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan bahawa harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) berkurangan 2.5 sen kepada 719.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot 1.5 sen kepada 568.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial