PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA TINGGI UNTUK SESI KE-10 BERTURUT-TURUT BERBANDING DOLAR AS, MENJELANG DATA KDNK SUKU KETIGA

14/11/2025 09:55 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS untuk sesi ke-10 berturut-turut pagi ini, meneruskan peningkatan menjelang data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2025 Malaysia dijadual akan dikeluarkan tengah hari, hari ini kata seorang penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1205/1335 berbanding dolar AS daripada 4.1260/1300 ketika ditutup pada Khamis.

Wang tempatan itu mencatat paras tertinggi dalam tempoh lebih 13 bulan, kali terakhir ia mencatat paras tertinggi adalah pada 30 September, 2024, apabila ringgit ditutup pada 4.1210.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata laporan ekonomi suku ketiga Bank Negara Malaysia akan berperanan sebagai pemangkin domestik utama.

“Satu set petunjuk makro yang membina selaras dengan jangkaan kami sebanyak 5.2 peratus diunjurkan akan mengukuhkan sentimen pasaran dan keyakinan terhadap trajektori ekonomi jangka pendek Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pengukuhan ringgit apabula dibuka tinggi juga mencerminkan penurunan mendadak dalam indeks dolar AS, diniagakan lebih rendah sepanjang sesi semalaman dan ditutup menghampiri paras 99, turun kira-kira 0.5 peratus.

“Reaksi pasaran menunjukkan bahawa meskipun penutupan kerajaan AS yang berlanjutan telah berakhir, pelabur tetap berhati-hati menjelang keluaran data yang akan datang dan potensi pengaruhnya terhadap mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada Disember depan.

“Walaupun beberapa set data mungkin menghadapi kelewatan atau mengalami jurang, sebarang angka yang muncul berkemungkinan besar memberi kesan ketara melainkan ia selaras dengan konsensus,” katanya.

Mohd Sedek berkata jangkaan penurunan kadar faedah pada Disember oleh Fed AS telah reda, ia mewujudkan keadaan yang menggalakkan dan membantu mata wang Asia kekal stabil berbanding mata wang utama lain.

Beliau berkata ringgit boleh meningkat lagi dan dalam jangka masa terdekat mungkin diunjurkan pada paras 4.10 USD/MYR, daripada paras 4.12 ketika ini.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding yen kepada 2.6649/6735 daripada 2.6700/6728 ketika ditutup pada Khamis, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4197/4368 daripada 5.4282/4334 dan menambah berbanding euro kepada 4.7921/8073 daripada 4.7928/7974.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Ia melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 246.3/247.2 daripada 246.6/247.0 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.98/7.01 daripada 6.99/7.00.

Ringgit juga meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7278/7786 daripada 12.7724/7903 dan menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.1664/1767 daripada 3.1729/1762.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan