PASARAN > BERITA

PRESTASI KUKUH RINGGIT DORONG BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI

02/12/2025 10:28 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini meskipun prestasi lemah di Wall Street, disokong oleh pengukuhan ringgit yang terus meningkatkan sentimen pelabur.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.38 mata mewakili 0.45 peratus kepada 1,631.95 daripada paras 1,624.57 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 2.50 mata lebih kukuh pada 1,627.07.

Sentimen pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 242 berbanding 132, manakala 301 kaunter tidak berubah, 2,013 tidak didagangkan dan 10 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 149.13 juta saham bernilai RM121.76 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah secara keseluruhan berikutan aktiviti pengambilan untung selepas kenaikan baru-baru ini, manakala sentimen turut terjejas oleh kejatuhan mendadak Bitcoin semalaman yang menandakan penyusutan selera risiko dalam kalangan pelabur, katanya kepada Bernama.

Bagi pasaran tempatan, Thong berkata pengukuhan ringgit dijangka menarik kemasukan lebih banyak aliran bersih dana asing, dengan FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,620–1,630 hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 11 sen kepada RM10.08, CIMB menambah empat sen kepada RM7.99 dan Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.38, manakala Tenaga Nasional susut lapan sen kepada RM13.24 dan IHH Healthcare berkurangan dua sen kepada RM8.38.

Bagi kaunter paling aktif, Capital A meningkat 16 sen kepada 40.5 sen, Pegasus meningkat setengah sen kepada satu sen, manakala Tanco dan Zetrix AI masing-masing tidak berubah pada RM1.16 dan 81.5 sen, sementara Bumi Armada naik satu sen kepada 31.5 sen.

Antara kaunter untung tertinggi termasuk Nestle yang menokok RM1.16 kepada RM113.20, Kuala Lumpur Kepong naik 34 sen kepada RM19.44, Petronas Dagangan menambah 30 sen kepada RM20.90, Fraser & Neave meningkat 24 sen kepada RM35.12 dan Malaysian Pacific Industries mengukuh 22 sen kepada RM31.58.

Dalam kalangan kaunter rugi utama, Gamuda susut lapan sen kepada RM5.22, Hong Leong Industries turun lapan sen kepada RM15.56, KESM berkurangan enam sen kepada RM2.82, MR DIY merosot lima sen kepada RM1.58, manakala PJ Bumi turun tiga sen kepada RM1.66.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 48.32 mata kepada 12,047.19, Indeks FBM Emas Shariah naik 24.75 mata kepada 11,928.21, Indeks FBMT 100 bertambah 51.72 mata kepada 11,841.98 dan INdeks FBM Mid 70 mengukuh 65.39 mata kepada 16,801.37, manakala Indeks FBM ACE merosot 13.60 mata kepada 4,818.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 140.44 mata kepada 18,925.89, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.31 mata kepada 166.27, Indeks Tenaga meningkat 2.78 mata kepada 752.23, manakala Indeks Perladangan naik 35.50 mata kepada 8,069.42.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan