PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI DIPACU PRESTASI PASARAN SERANTAU

02/12/2025 06:40 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia mengekalkan momentum peningkatannya namun ditutup rendah sedikit daripada paras tertinggi intra hariannya pada Selasa ketika sentimen pelabur terus pulih susulan pengukuhan di serata pasaran Asia, kata penganalisis.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 6.03 mata atau 0.37 peratus kepada 1,630.60 daripada paras penutup pada 1,624.57, semalam.

Indeks petunjuk utama itu yang dibuka meningkat 2.50 mata kepada 1,627.07, turut berlegar dalam julat 1,624.47 hingga 1,634.35 sepanjang dagangan hari ini.

Bagaimanapun, pasaran secara meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 606 berbanding 489, sebanyak 577 kaunter tidak berubah, 1,016 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan susut kepada 3.93 bilion unit bernilai RM3.32 bilion daripada 3.99 bilion unit bernilai RM2.79 bilion, semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata jangkaan Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedahnya, telah meningkatkan minat terhadap risiko walaupun pulangan Perbendaharaan negara maju itu lebih kukuh.

“Data AS yang lebih lemah, termasuk aktiviti pembuatan serta jualan runcit yang kurang memberangsangkan, hanya menguatkan lagi andaian bagi pelonggaran dasar dan sokongan terhadap ekuiti serantau,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, pasaran kekal berdaya tahan, disokong oleh aliran masuk dana institusi serta keyakinan terhadap asas-asas korporat domestik yang kukuh.

“Sentimen turut didorong oleh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai langkah Intel membuat pelaburan tambahan RM860 juta untuk mengembangkan operasinya di Malaysia yang dijangka menarik lebih banyak dana serta mewujudkan pekerjaan baharu,” katanya.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata indeks penanda aras FBM KLCI ditutup tinggi untuk hari kedua berturut-turut, disokong oleh aktiviti memburu saham-saham berharga rendah selain pemulihan sentimen optimis serantau, terutama dalam sektor teknologi.

“Indeks itu menyaksikan momentum yang diterajui oleh saham perbankan. Lima kaunter perbankan yang juga konstituen indeks, ditutup dalam wilayah positif dengan kaunter berprestasi terbaik menokok 3.71 peratus.

“Prestasi sedemikian mencerminkan momentum makroekonomi lebih kukuh, margin faedah yang stabil dan kos kredit yang terkawal hasil daripada kualiti aset yang berdaya tahan,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik 37 sen kepada RM10.34, Public Bank dan CIMB Group masing-masing meraih lima sen kepada RM4.41 dan RM8.00, Tenaga Nasional susut 58 sen kepada RM12.74 dan IHH Healthcare turun empat sen kepada RM8.36.

Kaunter saham paling aktif adalah Capital A yang naik 15.5 sen kepada 40 sen, Zetrix AI meraih dua sen kepada 83.5 sen, Velesto Energy menokok 1.5 sen kepada 24 sen manakala Genting Malaysia turun 10 sen kepada RM2.25 dan Tanco susut lima sen kepada RM1.11.

Selain itu, kaunter paling untung menyaksikan Nestle melonjak RM8.60 kepada RM120.20, Fraser & Neave naik RM1.48 kepada RM36.36, Allianz Malaysia menokok 40 sen kepada RM19.90, Hong Leong Industries meraih 32 sen kepada RM15.96 dan Malayan Cement untung 25 sen kepada RM6.90.

Sebaliknya kaunter paling rugi, PPB Group susut 48 sen kepada RM10.10, United Plantations turun 38 sen kepada RM28.00, Chin Teck Plantations turun 20 sen kepada RM10.80, Gamuda berkurangan 15 sen kepada RM5.15 manakala Lim Seong Hai Capital menguncup 14 sen kepada RM2.00.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 32.42 mata kepada 12,031.29, Indeks FBM Emas Shariah susut 55.34 mata kepada 11,848.12, Indeks FBMT 100 Index naik 31.33 mata kepada 11,821.59, Indeks FBM ACE merosot 51.04 mata kepada 4,780.87 manakala Indeks FBM Mid 70 menguncup 9.83 mata kepada 16,726.00.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 325.53 mata kepada 19,110.98, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian tidak berubah pada 165.96, Indeks Tenaga naik 0.96 mata kepada 750.41 manakala Indeks Perladangan naik 57.18 mata kepada 8,091.10.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.65 bilion unit bernilai RM2.94 bilion daripada 1.45 bilion unit bernilai RM2.34 bilion, semalam.

Selain itu, jumlah dagangan berkurangan kepada 1.89 bilion unit bernilai RM249.52 juta berbanding 2.19 bilion unit bernilai RM321.14 juta, sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 384.24 juta unit bernilai RM126.05 juta berbanding 341.26 juta unit bernilai RM126.54 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 462.00 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (218.85 juta), pembinaan (87.23 juta), teknologi (214.73 juta), perkhidmatan kewangan (105.25 juta), hartanah (172.57 juta), perladangan (79.47 juta), amanah pelaburan hartanah (31.27 juta), dana tertutup (27,300), tenaga (108.82 juta), penjagaan kesihatan (51.87 juta), telekomunikasi dan media (40.49 juta), pengangkutan dan logistik (32.00 juta), utiliti (50.87 juta) serta amanah perniagaan (13,700).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan