Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa, disokong oleh sentimen positif berikutan kekukuhan ringgit meskipun prestasi Wall Street adalah suram.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 1.19 mata atau 0.07 peratus kepada 1,613.97 daripada 1,612.78 semasa ditutup semalam.
Indeks itu dibuka 6.36 mata lebih tinggi kepada 1,619.14.
Di pasaran lebih meluas, sebanyak 123 kaunter rugi mengatasi 114 kaunter untung, dengan 247 kaunter tidak berubah, 2,263 tidak diniagakan, dan 11 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 72.10 juta saham bernilai RM55.73 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih rendah apabila peniaga memilih untuk melakukan penjualan menjelang keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang akan diumumkan esok.
“Sementara itu, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat kepada 4.17 peratus,” katanya kepada Bernama.
Thong berkata walaupun ringgit lebih kukuh dan bergerak pada sekitar 4.11 berbanding dolar AS, kalangan pelabur tidak mahu membuat komitmen yang besar buat masa ini.
“Kami menjangka FBM KLCI akan berada dalam julat 1,610-1,620 hari ini,” katanya.
Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS akan mengadakan mesyuarat dasarnya hari ini dan esok.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.14, Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.38, CIMB Group susut tiga sen kepada RM7.87, Tenaga Nasional rendah dua sen kepada RM12.68 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.51.
Bagi saham paling aktif, Orkim yang mula disenaraikan di Pasaran Utama meningkat dua sen kepada 94 sen, Tanco menokok satu sen kepada RM1.19 dan Zetrix AI menambah setengah sen kepada 80.5 sen manakala Velesto Energy dan Magma Group masing-masing tidak berubah pada 25 sen dan 35 sen.
Saham paling untung antaranya Petronas Gas, yang melonjak 24 sen kepada RM17.26, FCW meningkat 20 sen kepada RM2.00, Malaysian Pacific Industries menambah 10 sen kepada RM32.20 manakala Petronas Dagangan dan Press Metal masing-masing menokok enam sen kepada RM19.34 dan RM6.85.
Antara saham paling rugi menyaksikan Hong Leong Bank susut 10 sen kepada RM21.20, Hong Leong Industries rendah 10 sen kepada RM15.82, Gamuda berkurangan empat sen kepada RM5.16, Alliance Bank rendah tiga sen kepada RM4.66 manakala Genting Malaysia berkurangan tiga sen kepada RM2.12.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 9.75 mata kepada 11,935.22, Indeks FBM Emas Shariah menokok 11.34 mata kepada 11,796.21, Indeks FBMT 100 naik 9.48 mata kepada 11,720.67, dan Indeks FBM 70 menambah 17.11 mata kepada 16,669.15 manakala Indeks FBM ACE susut 11.10 mata kepada 4,772.44.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 6.75 mata kepada 18,940.01, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.62 mata kepada 166.43, Indeks Tenaga menambah 0.28 mata kepada 753.51 dan Indeks Perladangan naik 19.97 mata kepada 8,049.18.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial