POLITIK > BERITA

ANTHONY LOKE KEKAL PENGERUSI DAP N.SEMBILAN

29/09/2024 06:24 PM

SEREMBAN, 29 Sept (Bernama) -- Setiausaha Agung DAP Anthony Loke kekal menerajui kepimpinan DAP Negeri Sembilan selepas sebulat suara dipilih sebagai pengerusi bagi penggal 2024-2027.

Ahli Parlimen Seremban itu yang juga Menteri Pengangkutan dipilih dalam kalangan 15 jawatankuasa tertinggi yang baharu dipilih pada pemilihan Jawatankuasa DAP negeri bersempena Konnvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau yang memegang jawatan itu sejak 2004 mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 571 undi daripada 658 perwakilan yang hadir, manakala jawatan Timbalan Pengerusi juga kekal disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaran.

Gunasekaran memperoleh sebanyak 482 undi.

Jawatan Naib Pengerusi pula disandang ADUN Nilai merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar serta Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam yang juga ADUN Bahau Teo Kok Seong.

Arul Kumar memperoleh undi kedua tertinggi dalam pemilihan tersebut dengan 533 undi manakala Kok seong mendapat sebanyak 415 undi.

Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin turut kekal sebagai setiausaha DAP negeri.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Loke berkata kepimpinan baharu pada kali ini bukan sahaja dipilih dalam kalangan ahli berpengalaman malah turut menampilkan beberapa muka baharu bagi memberi peluang kepada mereka sekali gus meremajakan parti.

“Ini mesej yang hendak disampaikan perwakilan, sudah tentu kita akan beri ruang kepada muka baharu untuk memainkan peranan dalam kepimpinan parti dan diberi pendedahan supaya mendapat pengalaman mentadbir parti pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata DAP selepas ini akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu mengukuhkan kedudukan parti dalam kerajaan termasuk daripada segi organisasi selain memastikan barisan calon kuat dan berpengalaman sekali gus mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Selain itu, beliau berkata DAP negeri juga akan menubuhkan Wisma DAP negeri baharu yang lebih besar supaya pelbagai aktiviti dan latihan dapat diadakan dengan lebih baik kepada ahli DAP.

“Kita juga akan membantu kebajikan ahli DAP termasuk memberikan bantuan perubatan dan pendidikan untuk anak-anak ahli DAP sebagai tanda prihatin kepada masa depan mereka.

“Inisiatif berkenaan juga sebagai menggalakkan penyertaan generasi kedua atau ketiga ahli DAP sebab ramai yang masuk parti dah lama tapi anak tidak menjadi ahli DAP atau tidak terlibat dalam politik, jadi kita harap mereka ikut jejak langkah ibu bapa,” katanya.

 

Berikut adalah senarai Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan 2024-2027:

 

Pengerusi: Anthony Loke

Timbalan Pengerusi: P. Gunasekaran

Naib Pengerusi: J. Arul Kumar dan Teo Kok Seong 

Setiausaha: Cha Kee Chin

Penolong Setiausaha: Lee Kai Yet

Bendahari: Siau Meow Kong

Setiausaha Organisasi: Ho Weng Wah

Penolong Setiausaha Organisasi: Yong Mui Ting dan S. Mugunthan

Setiausaha Publisiti: Lim Chun Wei

Pengarah Pendidikan Politik: Choo Ken Hwa

 

Ahli jawatankuasa negeri: 

Chew Seh Yong

Nicole Tan Lee Koon

A. Partheeban

 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan