POLITIK > BERITA

HUBUNGAN PAS-BERSATU TUNJUK BIBIT KELEMAHAN - FAHMI

26/11/2024 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Beberapa isu dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN) ketika ini menggambarkan hubungan PAS dan Bersatu bagaikan ‘retak menanti belah’, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR menyifatkan hubungan pembangkang PAS-Bersatu semakin panas berikutan ‘perbalahan’ isu ‘poster boy’ (calon Perdana Menteri) dalam PN dan terbaharu pengguguran wakil Bersatu dalam rombakan Kabinet Negeri Perlis.

Selain isu dalaman, beliau turut menyifatkan prestasi pembangkang sebagai semak dan imbang juga sendu, terutama di dalam sidang Dewan Rakyat.

“… baru-baru ini kita lihat desakan pengerusi (PN) cari ‘poster boy’ baharu, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) digugurkan di Perlis dan acara besar di Terengganu tidak dijemput pimpinan tertinggi Bersatu, ini bibit-bibit menunjukkan kelemahan dalam PN dan hubungan yang semakin renggang, semakin hari semakin jelas.

“Sudah pasti juga performance pembangkang di Parlimen cukup sendu bila mereka tidak boleh membincangkan isu yang substansif, malah untuk dua tahun berturut mereka gagal tampilkan belanjawan alternatif, kita lihat ini retak menanti belah,” katanya kepada pemberita  selepas majlis pelancaran Aplikasi MYTV Mana-Mana di IHU Proton, di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pengguguran dua ADUN Bersatu daripada jawatan Exco kerajaan Perlis pimpinan PN.

Menurut laporan sebuah portal berita tempatan, alasan pengguguran ADUN berkenaan bukan disebabkan prestasi tugas sebaliknya didakwa atas faktor politik.

Sebelum ini ‘perbalahan’ dalam PN terserlah, apabila Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan mengesyorkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal jawatan perdana menteri PN pada pilihan raya umum akan datang, namun cadangan itu diselar Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang menegaskan parti itu lebih layak memimpin PN sekali gus menolak cadangan Muhyiddin sebagai calon PM gabungan itu.

Sementara itu, mengulas polemik penggunaan dwibahasa di papan tanda, beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah menetapkan peraturan bagi penggunaan bahasa di papan tanda kedai atau premis.

Justeru, Fahmi berkata tidak sepatutnya perkara itu dijadikan polemik kerana pemilik premis seharusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kita sedar setiap PBT ada menetapkan peraturan tertentu termasuk papan tanda kepada peniaga mereka harus faham dan patuh.

“Isu ini tidak patut dipolemikkan, tetapi dalam aspek penguatkuasaan, diharapkan ia tidak bersifat bermusim misalnya ditonjolkan di media sosial baru ambil tindakan, sewajarnya pemantauan sentiasa dibuat.

“Sekiranya papan tanda itu dari awal lagi dikenal pasti melanggar peraturan, jangan tunggu bertahun baru ambil tindakan kerana boleh mencetuskan persepsi berbeza kepada rakyat…perlu berlaku adil dari awal,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai lambakan papan tanda premis dan kedai di ibu negara yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dan mencetuskan polemik malah menjadi perdebatan antara Ahli Parlimen di Dewan Rakyat baru-baru ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan