KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini mengumumkan penambahan empat calon baharu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sebagai langkah memperkukuh barisan kepimpinan dan kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya berkenaan.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keputusan dibuat selepas meneliti perkembangan mutakhir serta hasil rundingan yang diperhalusi bagi memastikan representasi parti lebih menyeluruh dan strategik.
“Kerusi-kerusi tambahan ini diputuskan selaras dengan aspirasi BN untuk memastikan representasi yang lebih menyeluruh, berimbang dan strategik, sesuai dengan keperluan rakyat serta dinamika politik negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Empat calon baharu yang diumumkan ialah Willey Lampaki bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N06 Bandau; Rahmah Jan Sulaiman (N43 Kemabong); Datuk Chin Kim Hiung (N54 Karamunting) dan Chaya Sulaiman (N70 Kukusan).
Beliau berkata penambahan itu mencerminkan komitmen berterusan BN Sabah untuk memastikan setiap komuniti di kawasan pilihan menerima pembelaan serta khidmat terbaik daripada calon berwibawa dan bersedia menggalas amanah rakyat.
“Jentera parti di semua peringkat diminta untuk menggiatkan persiapan dan melaksanakan gerak kerja secara tersusun, inklusif dan berfokus demi memastikan kemenangan dan mandat rakyat kembali kepada BN,” katanya.
Ahad lepas, BN Sabah mengumumkan senarai 41 calon yang bakal bertanding pada PRN kali ini menggandingkan muka baharu dan lama, sebelum tambahan empat lagi calon hari ini, menjadikan bilangan keseluruhan calon daripada parti itu sebanyak 45 orang.
Bung Mokhtar berkata barisan calon yang diketengahkan oleh BN kali ini membawa penawaran kepimpinan lebih segar dan menyeluruh bukan sahaja untuk memperkukuh kestabilan politik, tetapi juga mengangkat Sabah ke arah pembangunan yang lebih inklusif.
“Saya berharap barisan calon ini dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya serta membuktikan kemampuan untuk meraih keyakinan pengundi, sekali gus memastikan kemenangan BN,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada Sabtu ini, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 Nov.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial