POLITIK > BERITA

TINDAKAN RAHMAN DAHLAN BERI PELUANG MUKA BAHARU, SATU POLITIK SIHAT - MOHAMAD HASAN

13/11/2025 08:23 PM

SEREMBAN, 13 Nov (Bernama) -- Keputusan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menolak pencalonannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk untuk memberi laluan kepada calon tempatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, disifatkan sebagai politik sihat.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tindakan itu, mencerminkan kebertanggungjawaban pemimpin yang mengutamakan kepentingan parti serta rakyat di kawasan berkenaan.

“Beliau bukan Ketua Bahagian di situ, beliau Ketua UMNO Bahagian Tuaran tapi bertanding di kawasan Parlimen Kota Belud, jadi perbincangan telah dilakukan agaknya pada peringkat mereka maka beliau amat berbesar hati memberikan laluan kepada Ketua UMNO Bahagian Kota Belud (Azuwan Marjan Norjan).

“Ini perkara yang baik dan merupakan satu politik sihat, kerana kita beri laluan kepada pemimpin setempat, jadi kita berharap supaya laluan yang diberikan itu memberi peluang kepada kepimpinan baharu atau calon baharu untuk menang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kit peperiksaan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan komputer riba kepada pelajar institut pengajian tinggi, membabitkan lebih 1,000 penerima di Parlimen Rembau di sini hari ini.

Abdul Rahman semalam dilaporkan telah memaklumkan perkara itu kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO dan memberitahu ingin memberi laluan kepada muka baharu serta anak tempatan Kota Belud untuk mewakili parti di DUN berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal 25 Nov.

Pada PRN Sabah lepas, kerusi DUN Tempasuk dimenangi Datuk Mohd Arsad Bistari yang ketika itu mewakili BN dengan majoriti 1,685 undi.

Bagaimanapun, untuk PRN ke-17 kali ini, Mohd Arsad telah dinamakan sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN yang sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan