POLITIK > BERITA

PERTEMBUNGAN 14 PENJURU DUN TULID, PENGUNDI SUDAH SEDIA BUAT PILIHAN

27/11/2025 04:14 PM

 

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

PENSIANGAN, 27 Nov (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid muncul antara kerusi paling mencuri tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 apabila menyaksikan pertembungan 14 penjuru, situasi jarang berlaku serta mengejutkan pengundi di kawasan pedalaman itu.

Bagaimanapun, kebanyakan pengundi sudah bersedia untuk memilih menjelang hari pengundian Sabtu ini, meskipun mengakui senarai nama calon yang panjang dalam kertas undi bagi DUN itu mungkin boleh mengelirukan mereka. 

Bagi pengundi muda Izoden Jamsin, 21, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), saingan 14 calon bukan sahaja mengejutkan, malah mencabar kemampuan pengundi baharu sepertinya untuk menilai setiap tawaran secara matang.

“Secara peribadi, saya memang sangat terkejut sebab inilah kali pertama ada 14 calon bertanding di DUN yang dikira kecil di Sabah. Memang sangat keliru, tapi sebagai pengundi kita mesti buat kajian terhadap calon-calon bertanding. Kita kena jadi belia pintar untuk pilih masa depan yang cerah,” katanya ketika ditemui Bernama.

Izoden turut berharap calon yang menang kelak menunaikan tanggungjawab dan manifesto dengan lebih serius.

Maria Jinulis, 61, yang sudah banyak kali mengundi pada pilihan raya sebelum ini berkata ini merupakan kali pertama melihat bilangan calon yang begitu ramai.

“Saya tidak pernah nampak sampai 14 calon. Terkejut juga, tapi pengundi tetap boleh buat keputusan,” katanya.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) Rufinah Pengeran menganggap persaingan calon yang ramai di DUN Tulid itu sebagai sesuatu yang unik, namun yakin pengundi semakin matang dalam politik dan bijak membuat pilihan.

“Memang pengundi agak terkejutlah sebab Tulid ini adalah DUN yang mempunyai calon terbanyak di PRN Sabah tetapi saya yakin pengundi Tulid pandai menilai siapa yang boleh membawa kemajuan kepada rakyat di situ.

“Saya anggap pertandingan di DUN Tulid ini sebagai persaingan persahabatan kerana pihak lawan itu adalah rakan-rakan kita juga di kawasan ini, dan kita tidak ambil negatif kepada mereka, kita ambil positif saja dan kita bersaing secara sihat, secara demokrasi,” katanya.

Mengenai prestasi kempennya setakat ini, Rufinah yang bertanding buat kali pertama itu berkata penerimaan pengundi semakin positif, khususnya selepas mereka menikmati manfaat dasar Kerajaan MADANI seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 yang membabitkan 73 kerusi DUN ditetapkan pada 29 Nov ini.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 
N44: TULID: SABAH: 16,551
 
1. Suman @ Sunsunah Yasambun (Bebas/IND)
2. Clarence Carter Maraat (Bebas/IND)
3. Edwin Laimin (Bebas/IND)
4. Rufinah Pengeran (PH-PKR)
5. Vinson Rusikan (PKS)
6. Aisat @ Ellik Igau @ Iggau (KDM)
7. Datuk Baritus Gungkit (STARSABAH)
8. Lucia Kihing (Warisan)
9. Jordan Jude Ellron (Bebas/IND)
10. Jufina Dimis @ Hasnizah Abdullah (Rumpun)
11. Anchis @ Rayner Francis Udog @ Udong (PIS)
12. Engah Sintan @ Dahlan Abdullah (Bebas/IND)
13. Mohd Khairil Abdullah (UPKO)
14. Lautis @ Laulis Anggang (Bebas/IND)
 
(2020: Flovia Ng: PN-STAR: Maj: 544)

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan