SUKAN > BERITA

SNG WEI MING SASAR DUA EMAS DI KEJOHANAN REMAJA DUNIA

25/09/2024 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki remaja negara Sng Wei Ming tekad untuk membalas kepercayaan diberikan barisan kejurulatihan selepas dirinya tersenarai untuk mewakili Malaysia dalam acara individu dan berpasukan di Kejohanan Remaja Dunia di Nanchang, China hujung bulan ini.

Beliau yang tidak tersenarai pada dua edisi sebelum ini menyasarkan untuk menamatkan penantian pingat emas negara di kejohanan itu selepas kali terakhir Malaysia memenanginya menerusi pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei pada 2018.   

“Ini kali pertama dan terakhir sebab sebelum ini dua kali cuba tapi kali ini baru dapat (beraksi di kejohanan remaja dunia). Untuk edisi kali ini, saya akan beraksi dalam acara berpasukan dan individu.

“Kalau boleh saya mahu jadi juara acara individu dan bantu rakan dalam acara berpasukan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai format baharu kejohanan dalam acara berpasukan yang menggunakan sistem 11 mata, beliau mengakui ia memberi kelebihan kepada pasukan negara.

Juara remaja kebangsaan itu berkata pasukan negara sudah membiasakan diri dengan format baharu itu lebih dari sebulan selain mengadakan perlawanan simulasi sebagai persediaan menghadapi acara berpasukan.

“Sebelum ini rasa agak berbeza sebab tak pernah main 11 mata. Tapi selepas buat simulasi dekat kem latihan minggu lepas, saya rasa format ini memberi kebaikan kepada kami.

“Untuk format ini, pemain-pemain perlu lebih bersedia, tak boleh santai-santai dan perlu bermain sepantas boleh sebab permainan lebih pendek,” katanya.

Kali terakhir pasukan Malaysia berjaya memenangi pingat emas dalam acara berpasukan adalah pada tahun 2011 yang berlangsung di Taiwan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan