SUKAN > BERITA

JERICHO TAMATKAN PENANTIAN TUJUH TAHUN TUAI EMAS REJAM LEMBING PARA SUKMA 2024

26/09/2024 04:12 PM

KUCHING, 26 Sept (Bernama) -- Atlet Sabah Jericho Hedryld Harry melakar sejarah apabila menamatkan penantian tujuh tahun pingat emas acara rejam lembing lelaki F46 (kecacatan fizikal) pada Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 hari ini.

Lebih membanggakan, atlet berusia 23 tahun itu turut melebur rekod kebangsaan selepas melakukan catatan 36.83 meter (m), memadam catatan 35.26m milik wakil Johor, Mohd Iskandar Zainuddin dilakukan pada edisi 2010.

Atlet kelahiran Kota Kinabalu itu yang pernah kecewa kerana impian menjadi jurutera dalam bidang minyak dan gas tidak kesampaian berkata kesungguhannya dalam menjalani latihan ternyata membuahkan hasil dengan pencapaian berganda di sini.

“Saya tiada rahsia, cuma berlatih macam biasa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stadium Sarawak di sini.

Pingat perak dimenangi atlet Selangor, Muhammad Haris Mohd Hashim (32.75m) dan gangsa milik Muhamad Zahir Zulkefli dari Johor (30.61m).

Sementara itu, berkongsi cerita mengenai kekurangannya Jericho berkata beliau kecewa kerana tidak diterima bekerja dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas kerana kehilangan tangan kiri akibat kemalangan motosikal empat tahun lepas.

Namun bangkit setelah mendengar saranan ibu saudaranya untuk menceburi bidang sukan dalam acara rejam lembing pada 2022.

“Keadaan saya seperti ini susah dapat kerja apatah lagi dalam bidang minyak dan gas memang tak terima orang yang tiada tangan. Dengan menyertai sukan sekurang-kurangnya ada perkara saya boleh buat.

“Mula-mula terkejut dengen perubahan daripada normal menjadi orang kurang upaya (OKU). Saya harap boleh jadi sertai Sukan Paralimpik satu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, wakil tuan rumah mendominasi podium acara lontar peluru lelaki F41 (kecacatan fizikal) selepas Richard Bada melakukan lontaran emas sejauh 7.73m, diikuti Teckman Mary (6.92m) perak dan Abdullah Syawal Majarol (5.79m) gangsa.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan