SUKAN > BERITA

HOBI BERENANG BUKA JALAN MUHAMMAD SAFWAN TUAI EMPAT EMAS DI BUMI KENYALANG

26/09/2024 05:50 PM

KUCHING, 26 Sept (Bernama) -- Tiada siapa menyangka bermula dengan hobi berenang telah membuka jalan buat Muhammad Safwan Suhaimi untuk mewakili Selangor dan menyumbang empat pingat emas pada Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata tidak pernah terlintas untuk menjadi atlet renang kerana beliau lebih sinonim dengan sukan olahraga sejak berusia sembilan tahun.

“Saya selalu berenang di Kompleks Renang di Kelana Jaya selepas habis sekolah bersama kawan-kawan bermula umur 12 tahun. Ada seorang pegawai penyelamat cadangkan saya kepada Persatuan Renang Para Selangor yang sedang mencari atlet untuk mewakili negeri ke Para SUKMA.

“Saya setuju dan beralih kepada sukan renang,” katanya kepada Bernama di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini hari ini.  

Muhammad Safwan membuktikan beliau tiada tandingan apabila menambah satu lagi koleksi emas dalam acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki S9 (kecacatan fizikal) dengan catatan 1 minit 07.10 saat (s).

Catatan masa itu memadam rekod temasya milik Abdul Halim Mohammad dari Sabah, 1:08.56s dilakukan pada edisi 2018.

Sebelum ini, Muhammad Safwan meraih emas menerusi acara 100m kuak lentang lelaki S9, 200m rampaian individu SM9/SM10 dan 50m gaya bebas S9.

Sementara itu, Muhammad Safwan yang dilahirkan tanpa sebahagian tangan kirinya berkata latihan intensif lima kali seminggu ternyata membuahkan hasil pada penampilan keduanya di temasya dwitahunan kebangsaan itu.

“Ini adalah temasya paling besar dalam hidup saya jadi memang puas hati dengan kemenangan empat pingat emas,” katanya yang tidak terjejas walaupun dibelenggu kecederaan pada bahu kanannya.

Muhammad Safwan berharap kejayaan dicapai pada Para SUKMA kali ini, membolehkannya diserap ke dalam skuad kebangsaan walaupun pernah dua kali dipanggil menyertai latihan next generation pelapis kebangsaan di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan