SUKAN > BERITA

MHC HARAP KBS BANTU SKUAD HOKI REMAJA HADAPI PIALA ASIA DI OMAN

26/09/2024 05:33 PM

JOHOR BAHRU, 26 Sept (Bernama) -- Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat membantu menyalurkan peruntukan kepada pasukan hoki remaja lelaki dan wanita bagi persediaan menghadapi kejohanan Piala Remaja Asia di Oman pada November ini.

Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal berkata peruntukan KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) itu  amat diperlukan bagi menampung kos melibatkan tiket penerbangan, logistik dan penginapan pasukan dan barisan kejurulatihan.

Beliau berkata kejohanan Piala Remaja Asia adalah penting bagi kelayakan pasukan kebangsaan ke Piala Dunia Remaja di India pada tahun depan.

“Pasukan remaja kebangsaan ini tidak termasuk dalam program MSN walaupun mereka bermain untuk negara dan untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja.

“Jadi, segala perbelanjaan ditanggung oleh MHC..ini bukan mengadu tetapi saya faham situasi MSN, kerana kekangan duit dan sebagainya tetapi itu juga akan meletakkan kekuarangan kepada pasukan kita,”katanya pada sidang media selepas pelancaran Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor ke-12, di sini hari ini.

Subahan berkata kos keseluruhan untuk beraksi di Kejohanan Piala Remaja Asia di Oman bagi kedua-dua pasukan dianggarkan lebih RM600,000.

“Kita kena lepasi kelayakan Piala Dunia Remaja tetapi kos besar dan banyak kos perlu ditanggung. Justeru itu, kita amat memerlukan bantuan dan berharap perkara ini dapat perhatian,” katanya. 

Sehubungan itu Subahan berkata beliau akan bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam masa terdekat untuk memaklumkan berhubung perkara berkenaan.

“Menerusi pertemuan ini kita akan memohon kalau boleh diberikan bantuan (peruntukan) dan berharap perkara ini dapat perhatian dan pertimbangan menteri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan