SUKAN > BERITA

KASUT DEKWAN CETUS SEMANGAT MAHFUDZ 

26/09/2024 08:25 PM

KUCHING, 26 Sept (Bernama) --Kasut pemberian jaguh olahraga negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, menjadi rahsia kejayaan atlet Perlis Mahfudz Mahzan dalam memastikan beliau tidak pulang dengan tangan kosong di Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 yang berlangsung di Bumi Kenyalang hari ini.

Bercakap kepada Bernama, atlet berusia 25 tahun ini, yang meraih pingat perak dalam acara 800 meter (m), berkata beliau meminjam semangat idolanya, yang dikenali sebagai 'Dekwan', dengan memakai kasut tersebut setiap kali beraksi dalam acara yang disertai.

Ini telah menyumbang kepada kejayaannya dalam membawa pulang pingat untuk Perlis.

Katanya semangat yang diambil daripada 'Dekwan' juga menjadikan dirinya seorang yang tidak berputus asa.

Beliau berulang-alik dari Kedah ke Perlis dengan menaiki motosikal, mengambil masa lebih kurang satu jam setiap hari untuk membuat persediaan ke Para SUKMA 2024.

“Dekwan memberikan kasut ini pada 2020. Saya memakainya semasa berlari. Semangat yang saya ambil adalah untuk mendapatkan pingat bagi Perlis. Jadi, setiap hari saya menaiki motosikal dari Kedah ke Perlis. Pagi-pagi saya membantu mak menjual sabun dan pada waktu petang pula saya berlatih di Perlis,” katanya kepada Bernama di Stadium Sarawak hari ini.

Dalam aksi final 800m kategori T36 (kecacatan fizikal), Mahfudz meraih pingat perak dengan catatan 2:53.72 saat (s) selepas ditinggalkan oleh pencabarnya dari Kedah, Mohd Arman Rosli, yang mencatat masa 2:53.42s dan pingat gangsa menjadi milik wakil tuan rumah Mohamad Hishamudin Razali dengan 3:02.91s.

Ini merupakan pingat ketiga Mahfudz dalam edisi kali ini selepas meraih perak dalam acara 1,500m dan gangsa dalam acara 200m.

Dalam pada itu, Mahfudz menyatakan hasratnya untuk menjadi atlet berjaya seperti Dekwan bagi memberi kesenangan kepada ibunya.

“Mak menjual sabun, ayah tidak bekerja. Saya ingin membantu mak dan ayah, dan berjaya seperti Dekwan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan