SUKAN > BERITA

PARA SUKMA: PAKSAAN ARWAH BAPA BUAHKAN HASIL BUAT AHMAD SYAHIR

26/09/2024 08:28 PM

KUCHING, 26 Sept (Bernama) -- Pemain ping pong Perak, Ahmad Syahir Mohd-Kamal Saupi mungkin tidak akan menikmati kejayaan di Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 jika bukan kerana paksaan arwah bapanya kira-kira 15 tahun lepas.

Ahmad Syahir, yang mempertahankan emas perseorangan lelaki 10 (kecacatan fizikal), mengakui pada mulanya beliau tidak meminati ping pong dan mengambil masa dua tahun untuk jatuh cinta dengan sukan ini.

“Dahulu, arwah ayah beria-ia menyuruh saya bermain ping pong ketika berusia 12 tahun. Memandangkan saya seorang yang kurang upaya, arwah ayah mahu saya menceburi sukan agar kelihatan gagah dan tidak mudah dibuli.

“Saya tidak boleh berbuat apa-apa selepas dipaksa oleh ayah. Pada awalnya, saya kurang berminat, tetapi setelah mula bermain dan menyertai kejohanan dengan kerap, minat saya semakin berkembang, terutamanya selepas tewas, yang mendorong saya untuk terus memperbaiki permainan,” katanya kepada Bernama.

Atlet berusia 27 tahun itu berkata lama-kelamaan beliau menyedari bahawa paksaan arwah bapanya membuahkan hasil apabila berjaya mewakili negara pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.

“Ayah selalu berpesan, jika mahu melakukan sesuatu, lakukan sehingga berjaya. Jika tidak boleh, cuba sekali lagi,” katanya..

Terdahulu, Ahmad Syahir mengesahkan emas dalam kategorinya dengan mengambil masa 27 minit untuk menewaskan wakil Sabah, Gujile Gandila 11-7, 11-5, 9-11, 13-11 di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua No. 3 di sini.

Pemain kelahiran Kuala Kangsar ini, yang menghidap Sindrom Poland hingga menyebabkan tangan kanannya kecut sejak lahir, berkata beliau tidak pernah berkecil hati dengan keadaan fizikalnya dan menganggap dirinya sebagai manusia biasa.

Bekerja di sebuah farmasi di Kuala Kangsar, beliau sedia untuk kembali ke dalam skuad kebangsaan jika khidmatnya masih diperlukan.

Ahmad Syahir, yang amat meminati jaguh China, Ma Long, terpaksa berhenti dari skuad kebangsaan selepas menyertai Sukan Para Asia 2018 untuk memberi fokus kepada pembelajarannya di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Shah Alam beberapa tahun lalu.

Selain merangkul emas di sini, Ahmad Syahir, yang mula beraksi pada edisi 2014 di Perlis, juga pernah membawa pulang emas dalam kategori perseorangan lelaki terbuka di Perak pada tahun 2018.

Sementara itu, pemain Johor, Amri Biman memenangi gangsa dalam perseorangan berdiri lelaki kelas 10 dengan menewaskan Ismail Hassan dari Johor, 17-15, 11-4, 11-5.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan