SUKAN > BERITA

PARA SUKMA 2024: PERTAHAN EMAS UNTUK SABAH, BARTHOLOMEW MAHU BANTU IBU BINA RUMAH

26/09/2024 08:42 PM

KUCHING, 26 Sept (Bernama) -- Atlet Sabah Bartholomew Marius yang berjaya mempertahankan pingat emas di Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 mengidamkan untuk membantu ibunya membina semula rumah warisan yang ditinggalkan bapa di negeri kelahirannya itu.

Beliau berkata impiannya itu akan terlaksana sekiranya menerima insentif daripada kerajaan negeri Bumi di Bawah Bayu itu bersempena kejayaannya meraih pingat emas dalam acara lontar peluru F33 (kecacatan fizikal) selepas turut pernah meraih emas pada acara sama pada edisi 2022.

“Ayah sudah tiada, tapi tinggalkan rumah warisan untuk keluarga, rumah lama, jadi saya mahu tolong mak buat semula rumah itu, saya anak sulung daripada tiga orang adik beradik, jadi mesti saya mahu beri kesenangan kepada mak dan adik-adik,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sarawak menyaksikan Bartholomew meraih pingat emas selepas melakukan lontaran sejauh 5.94m di hadapan pencabar dari Sarawak Marshall Lu Canner dengan catatan 5.25m dan pingat gangsa menjadi milik Hilman Zafri Zulkifli dari Selangor (5.08m). 

Sementara itu acara lompat jauh T11 (kecacatan fizikal) menyaksikan atlet Pulau Pinang Sulaiman Nor Azizan meraih pingat emas dengan lompatan sejauh 4.13m mengatasi atlet Kedah Mohd Fitry Abd Ghani dengan lompatan 4.05m, manakala pingat gangsa menjadi milik Jeffery Ajang dari Sarawak (3.26m). 

Sulaiman menyifatkan kejayaannya hari ini merupakan tuah buatnya kerana beliau tidak sempat melakukan persiapan rapi dan hanya menjalani latihan sebanyak dua kali sebelum temasya berlangsung kerana kesibukannya bekerja sebagai tukang urut di Selangor.

“Saya memang tak sempat nak pulang ke Pulau Pinang berlatih sebab cari rezeki, saya rasa ini tuah untuk saya dapat menang,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan